Tokong tertera kalimah ALLAH, Bismillah di Pantai Siring

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 8:12 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tokong yang terdapat kalimah ALLAH dan Bismillahirrahmanirrahim gemparkan penduduk berhampiran pada malam Rabu. Gambar kecil: Rahmad

JASIN - Sekumpulan pemancing yang terkejut melihat binaan tokong batu tertera kalimah ALLAH dan Bismillahirrahmanirrahim dalam tulisan jawi di Jalan Jeti Anjung Batu - Pantai Siring di sini bertindak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, pada malam Rabu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, pemeriksaan ke lokasi sekitar jam 11.30 malam mendapati tokong berkenaan terletak di kawasan hutan paya bakau berdekatan pantai dan berada berhampiran tanah berpagar milik individu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tokong berkenaan dipercayai telah wujud sejak dua ke tiga tahun lalu dan tulisan jawi itu hanya dikesan pada hari kejadian.

"Perkara sensitif seperti ini boleh mencetuskan kontroversi antara kaum serta agama. Saya telah meminta pihak polis membuat kawalan sementara menunggu tindakan lanjut.

“Saya juga telah minta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tindakan penguatkuasaan sekiranya pembinaan itu didapati tidak mendapat kebenaran,” katanya selepas meninjau lokasi berkenaan pada Rabu.

Rahmad berkata, perbincangan segera telah diadakan bersama pelbagai pihak termasuk Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), polis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Tambah beliau, siasatan lanjut akan dijalankan oleh JAIM dan polis bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

“Siasatan mesti dibuat oleh JAIM dan polis untuk mengetahui bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana kita tidak mahu isu ini mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

"Saya mahu tuan tanah sendiri menyaksikan keadaan di kawasan tersebut sebelum sebarang tindakan diambil selain menyemak kemungkinan tanah itu dalam rizab pantai.

"Jika ia dalam rizab, sebarang pembinaan tidak boleh dibuat tanpa kelulusan pihak berkaitan,” katanya.