
CYBERJAYA, 26 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak supaya menolak budaya selesa bagi membolehkan Malaysia terus dipacu dengan lebih kukuh dan pantas.
Beliau berkata negara tidak akan berjaya sekiranya terus mengekalkan budaya lama, sebaliknya budaya selesa perlu segera ditapis kerana boleh melemahkan negara.
“Negara boleh menjadi lemah, malah lambat kalau budaya (terapkan) rasa selesa. Kadang-kadang ada agensi atau syarikat yang rugi 10 atau 12 bilion (ringgit) tetapi kita masih kata okey tidak apa … biasa saja”.
“Tak boleh, ini budaya yang akan menyebabkan kita bukan selesa (tetapi) musnah, sebab itu harus ada tekad menepis culture of contentment, iaitu budaya selesa. Apa lagi selesa dengan tahap pencapaian yang tak seberapa, selesa dan terus toleransi dengan kerosakan,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis peluncuran sambutan ulang tahun ke-80 Telekom Malaysia Bhd (TM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Pengerusi TM Datuk Zainal Abidin Puteh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Amar Huzaimi Md Deris dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Anwar berkata generasi kini perlu diberi pendedahan kepada ilmu dan disiplin baharu dalam teknologi moden bagi memastikan negara mampu menghadapi perubahan dunia yang semakin pantas.
“Kalau negara ini mahu kekal dan tambah maju, berdaulat, merdeka dan berhasil, ia mesti melangkah ke era baru yang tidak terfikir dan terduga semula.
“Ini bermakna anak-anak dan generasi, ada pendedahan baharu, ada exposure baharu pada dunia dan disiplin baharu. Hal-hal yang diterokai, yang saya tekankan tadi, iaitu dalam menggapai ke langit, terhadap hal-hal yang sukar pada peringkat awal,” kata beliau.
Beliau berkata Malaysia ada potensi besar untuk terus maju, namun potensi itu hanya dapat direalisasikan sekiranya semua pihak mempunyai tekad bersama untuk melakukan sesuatu yang lebih baik daripada pencapaian sedia ada.
Selain itu, Anwar turut memuji TM yang bukan hanya memfokuskan soal keuntungan dalam organisasi, malah turut menitikberatkan soal kebajikan pekerja.
“Sekali lagi saya tegaskan, TM (catat) kejayaan yang sangat-sangat membanggakan kita semua ... bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau ini, TM memang terkenal..
“Kita mahu terkenal bukan saja kerana gagah gedung besarnya, bukan saja kerana hasil dan catatan keuntungannya atau teknologi baharunya, tetapi juga kerana ia melambangkan satu syarikat yang mesra dan prihatin terhadap nasib golongan pekerja dan masyarakat sekitarnya,” kata beliau.
Anwar berkata TM dan MMU menunjukkan kesediaan menyambut perkembangan baharu dalam bidang multimedia dan kecerdasan buatan ( AI), sekali gus membuktikan kepentingan institusi serta syarikat tempatan untuk terus berada di hadapan dalam tuntutan zaman.
Beliau berkata Malaysia bukan sahaja perlu memberikan tumpuan kepada aspek keterangkuman, malah memastikan negara mempunyai budaya mengejar kecemerlangan dalam semua bidang.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kemajuan TM perlu melangkaui peranan tradisionalnya sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi, sebaliknya turut menjadi peneraju dalam bidang strategik termasuk keselamatan siber dan teknologi masa depan.
Anwar berkata penubuhan TM Cyber Defence Centre mencerminkan keperluan negara memperkukuh keupayaan pertahanan siber, manakala penguasaan teknologi seperti quantum computing (pengkomputeran kuantum) perlu diberikan perhatian.






