
PETALING JAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyeru semua warga pendidik supaya saling mengambil berat dan sentiasa bertanya khabar rakan sekerja.
Saranan diberikan beliau itu susulan insiden seorang guru wanita yang ditemukan maut di sebuah sekolah di Hulu Selangor, 31 Julai lalu.
Menurut beliau, pertanyaan yang ikhlas serta kesediaan untuk mendengar luahan rakan-rakan mampu memberi kekuatan besar kepada individu yang sedang berdepan tekanan.
“Kepada guru-guru yang saya kasihi, dalam kesempatan ini saya ingin merayu. Tolong bertanya khabar tentang rakan-rakan guru di sekeliling kita.
“Luangkan sedikit masa untuk mendengar, bertanya dan pastikan mereka benar-benar berada dalam keadaan yang baik. Kadangkala, satu pertanyaan yang ikhlas mampu memberi kekuatan yang sangat besar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan M. Manimaran dilapor berkata, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di bilik guru sekolah berkenaan ketika pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian, selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.15 pagi.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan, namun telah disahkan meninggal dunia.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, beliau memahami kegusaran warga pendidik dan masyarakat berhubung insiden tersebut, malah menyifatkan isu kesihatan mental sangat dekat di hatinya.
“Isu ini sangat dekat di hati saya. Apatah lagi, saya sendiri memulakan perjalanan dalam politik sebagai seorang aktivis kesihatan mental.
“Buat semua cikgu yang saya sayangi, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Tolong bertanya khabar rakan-rakan guru – Fadhlina appeared first on Kosmo Digital.




