“Tolong encik, tolong selamatkan saya” – Bomba Sebak Dengar Rintihan Pemandu Trak FRU Ketika Masih Sedar

Entertainment
14 May 2025 • 10:26 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Sejak semalam seluruh rakyat Malaysia bersedih dengan nahas kemalangan menyayat hati yang menimpa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 di Teluk Intan.

Berita pemergian 9 anggota FRU bukan sahaja mengejutkan seluruh negara malah mengundang rasa sebak dan sedih kerana mengenangkan nasib keluarga yang ditinggalkan.

Anggota bomba yang terlibat dalam operasi menyelamat juga tidak dapat menahan sebak sehingga ada yang menitiskan air mata ketika membantu mengeluarkan mangsa.

image is not available

Kongsi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Khusni Saidin, situasi meruntun hati apabila dia mendengar rintihan pemandu trak FRU yang pada masa itu masih dalam keadaan sedar ketika tersepit selepas kemalangan tragis.

“Tolong encik, tolong selamatkan saya,” rayu pemandu trak FRU itu.

Menurut Mohd Khusni, mereka sedapa upaya memberikan bantuan tetapi keadaan dilihat amat sukar.

“Malah anggota FRU lain juga menangis melihat keadaan rakan-rakan mereka yang parah dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Beliau yang telah berkhidmat selama 18 tahun dalam pasukan bomba menyifatkan ini sebagai operasi menyelamat paling berat yang pernah dilalui, khususnya kerana ia membabitkan rakan sesama pasukan keselamatan.

image is not available

Terdahulu, media melaporkan kejadian berlaku apabila sebuah lori muatan batu kerikil telah memasuki laluan bertentangan dan merempuh trak FRU yang membawa 18 anggota.

Lapan anggota disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi iaitu pemandu trak FRU menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Siasatan awal mendapati kegagalan sistem stereng lori terbabit menjadi punca kepada kemalangan yang meragut 9 nyawa wira pasukan keselamatan negara.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.