Saya nak masak sambal bilis untuk bekal anak – Ibu Kapten Zainol

LocalFamily & Parenting
9 Sep 2026 • 2:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Saya nak masak sambal bilis untuk bekal anak – Ibu Kapten Zainol

PETALING JAYA – “Saya nak masak sambal bilis untuk bekal anak saya esok.”

Itu kata-kata ibu kepada Kapten Zainol Afiq yang mengundang sebak tetamu selepas selesai majlis bacaan Yasin dan doa selamat buat pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak petang semalam.

Perkongsian mengenai detik tersebut dibuat seorang pengguna Threads dipercayai anak saudara kepada Kapten Zainol Afiq, Khusairi Fadhli.

Menurut Khusairi, selepas selesai bacaan Yasin dan doa selamat, ibu Kapten Zainol atau lebih mesra dipanggil Mak Long meminta tetamu yang hadir supaya duduk terlebih dahulu kerana mahu ke dapur.

“Selepas bacaan Yasin dan doa selamat untuk pasukan KKM tadi,

“Mak long (ibu kepada Kapten Zainol) cakap kepada para tetamu semua duduk la dulu ya saya nak pergi masak sambal bilis sekejap.

“Para tetamu “Eh tak payah susah-susah la (sebab para tetamu ingat Mak Long nak jamu semua makan),” katanya.

Namun, katanya, jawapan ibu Kapten Zainol selepas itu membuatkan suasana bertukar hiba apabila menjelaskan sambal bilis tersebut bukan untuk menjamu tetamu.

“Mak long “eh bukan, saya nak masak sambal bilis untuk bekal anak saya esok sebab sambal bilis tu makanan kegemaran Afiq (Kapten Zainol),” katanya.

Khusairi turut memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan ibu dan bapa saudaranya itu yang berlepas ke Miri, Sarawak, pagi tadi.

Kapten Zainol Afiq merupakan antara lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di STOLport Long Lellang, pedalaman Baram, Sarawak, kira-kira pukul 3.40 petang, semalam.

Kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia dalam nahas tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Residen Miri, Galong Luang dilaporkan mengesahkan kesemua mangsa maut dalam nahas yang berlaku di hujung landasan STOLport Long Lellang.

Nahas itu turut mengorbankan empat petugas kesihatan yang sedang menjalankan tugasan FDS bagi memberikan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Sebelum ini, isteri Kapten Zainol, Izzati Syamimi turut meluahkan kesedihan menerusi hantaran di media sosial.

“Doakan saya dan anak anak. Doakan suami syurga saya,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE

The post Saya nak masak sambal bilis untuk bekal anak – Ibu Kapten Zainol appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved