
PETALING JAYA: “Tolonglah abang, awak di mana?”
Demikian luahan pilu Hani Othman kepada suaminya, pegawai bomba Mohd. Fakhrul Munir yang dilaporkan hilang dalam tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal, tepat pada hari ulang tahun ke-10 perkahwinan mereka.
Menerusi hantaran di Facebook, wanita berkenaan meluahkan kerinduan terhadap suaminya yang sepatutnya pulang hari ini dan sebelum ini berjanji membawa hadiah sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
“Abang patut balik hari ni. Abang dah janji nak bawa balik hadiah ulangtahun. Gementarlah, hadiah apa abang mahu bagi tahun ni,” tulisnya.
Lebih menyentuh hati, wanita berkenaan turut berkongsi pelbagai perancangan yang bakal mereka lalui bersama, termasuk menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) TVET pada 6 September ini.
Pasangan itu juga merancang melengkapkan kursus Divemaster di Tioman pada Oktober selain perjalanan ke Rinjani pada Mei tahun depan dan Kilimanjaro pada Ogos.
Katanya, di sebalik segala perancangan itu, impian terbesar suaminya adalah untuk menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest masih belum terlaksana.
“Sayang dah cakap dekat abangkan kita akan berlatih sama-sama dan sayang akan teman abang kali ni sampai ke Puncak Everest. Impian abang nak ke puncak Everest tak selesai lagi,” katanya.
Hari ini genap 10 tahun pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga selepas diijabkabulkan pada 3 September 2016.
Untuk rekod, pegawai latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Mohd. Fakhrul Munir, merupakan antara 55 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan gagal dihubungi susulan kejadian banjir dan tanah runtuh di Nepal. –UTUSAN
The post Tolonglah abang, awak di mana? – Isteri pegawai bomba appeared first on Utusan Malaysia.






