
KOTA TINGGI: Empat remaja dikhuatiri lemas selepas mengunjungi kawasan pantai di Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar di sini, bersama beberapa rakannya yang lain, pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Muhammad Adib Tarmuzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.19 pagi.
Sehubungan itu katanya, enam anggota beserta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Maklumat awal yang diterima daripada orang awam mendapati seramai enam mangsa daripada sekumpulan remaja berkenaan sedang mandi ketika kejadian sebelum keenam-enam mereka dikhuatiri lemas.
“Dua daripada mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian. Manakala usaha mencari mangsa lain sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Muhammad Adib, seramai 15 remaja berkenaan dipercayai terlibat dalam aktiviti riadah perkhemahan di lokasi berkenaan sejak petang semalam, sebelum mandi di kawasan pantai pagi ini.
“Maklumat lanjut berkenaan perkembangan operasi akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.-UTUSAN
The post Empat remaja dikhuatiri lemas, dua terselamat ketika mandi di Tanjung Lompat appeared first on Utusan Malaysia.






