hamden23/09/2026 - 12:09 KUALA LUMPUR 23 Sept - Pengasas bersama dan penasihat AirAsia Group Bhd, Tony Fernandes, terbuka menerima bantuan sekiranya ditawarkan kepada syarikat penerbangan tambang rendah itu, namun menegaskan tiada rundingan dengan kerajaan berhubung usaha menyelamatkan AirAsia.
FMT melaporkan Fernandes berkata AirAsia sebelum ini berjaya mengharungi pandemik COVID-19 tanpa bantuan kerajaan dan kini berdepan tekanan akibat peningkatan mendadak kos bahan api.
Bagaimanapun, beliau menegaskan terdapat perbezaan antara usaha menyelamatkan syarikat melalui suntikan tunai dengan bentuk bantuan lain yang boleh membantu syarikat mengharungi tempoh sukar.
“Bagi saya, 'bailout' adalah untuk syarikat yang diuruskan dengan tidak baik dan meminta suntikan tunai,” katanya dalam audio siar Common Sens yang dikendalikan oleh Wong Shou Ning.
Fernandes menolak tanggapan bahawa AirAsia berada dalam kategori tersebut.
Ketika ditanya sama ada beliau akan menerima bantuan sekiranya ditawarkan, beliau berkata: “Jika seseorang mahu membantu kami dan mereka fikir ia baik untuk negara, dan saya fikir ia baik untuk warga AirAsia, mengapa saya tidak menerimanya?”
Menurut Fernandes, AirAsia telah mendapatkan bentuk bantuan lain, termasuk bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd bagi mengurangkan kos pengendalian darat serta kos lain.
Beliau turut berkata Petronas memberikan kemudahan kredit kepada AirAsia, namun tidak mendedahkan jumlah atau terma kemudahan tersebut.
AirAsia kurangkan kos, ubah operasi
Dalam usaha mengharungi tekanan semasa, Fernandes berkata AirAsia sedang mengurangkan kos dan menyesuaikan operasi bagi menghadapi harga bahan api yang tinggi.
Syarikat penerbangan itu turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta meningkatkan hasil.
Antara langkah yang diambil termasuk memulangkan pesawat yang menggunakan lebih banyak bahan api, menghentikan laluan yang tidak menguntungkan pada harga minyak semasa serta memperlahankan pertumbuhan di Indonesia dan Filipina.
“Kami perlu beroperasi berdasarkan andaian bahawa harga minyak mungkin kekal tinggi dan menyesuaikan perbelanjaan mengikut kemampuan,” katanya.
Kenyataan Fernandes itu dibuat beberapa hari selepas beliau menafikan laporan bahawa AirAsia memerlukan bantuan kerajaan.
Dalam taklimat media pada 18 September, beliau berkata AirAsia kekal mampan dan tidak meminta kerajaan untuk menyelamatkan syarikat penerbangan berkenaan.
Persoalan mengenai kedudukan kewangan AirAsia timbul selepas laporan Reuters pada 16 September bahawa kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Malaysia Airlines dan Batik Air sebagai sebahagian daripada perancangan kontingensi, sambil memantau kedudukan kewangan AirAsia.
Fernandes kemudiannya menolak dakwaan bahawa AirAsia memerlukan usaha menyelamat.
AirAsia melaporkan kerugian bersih RM831 juta pada suku kedua susulan peningkatan kos bahan api dan kerugian tukaran asing.
Pada akhir Jun, AirAsia mempunyai tunai dan baki bank berjumlah RM954 juta.
Fernandes sebelum ini berkata syarikat penerbangan itu menjangka mengumpul lebih AS$1 bilion, terutamanya bagi membiayai semula hutang sedia ada.
Secara berasingan, beliau berkata dirinya telah diminta memberikan jaminan peribadi serta melanjutkan kontrak sekiranya mahu mendapatkan pinjaman, namun tidak mendedahkan pihak yang membuat permintaan berkenaan.
Beliau berkata walaupun mahu beralih kepada perkara lain, “buat masa ini, pasaran mahu saya kekal”.
Dalam pada itu, Fernandes kekal yakin AirAsia mampu pulih daripada tekanan kewangan semasa dan muncul dalam kedudukan yang lebih kukuh.
“Kami akan berusaha sebaik mungkin. Saya percaya kami mempunyai peluang yang baik untuk keluar daripada keadaan ini dengan lebih kukuh kerana kami telah mengharungi banyak krisis sebelum ini,” katanya. - DagangNews.com






