Tony Pua, Poay Tiong disiasat

LocalPolitics
26 Nov 2026 • 9:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Tony Pua Poay Tiong

PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan berasingan terhadap Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berhubung hantaran yang dibuat mereka dalam Facebook masing-masing.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan terhadap Tony Pua dibuat selepas sebanyak 55 laporan polis diterima berhubung hantaran yang mengandungi maklumat dokumen keputusan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kedua-dua siasatan itu dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu mendedahkan maklumat dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara Poay Tiong pula, Pengerusi DAP Melaka itu disiasat selepas polis menerima dua laporan berhubung hantarannya yang mempertikai arahan penutupan premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika solat Jumaat oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Katanya, kes membabitkan pemimpin DAP itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama mana-mana orang, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan memandangkan kedua-dua kes masih di peringkat siasatan.

“PDRM turut memberi amaran kepada semua pihak agar tidak sesekali menyentuh atau membangkitkan isu 3R dalam apa jua bentuk yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia,” jelasnya.

Beliau menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam. – UTUSAN

The post Tony Pua, Poay Tiong disiasat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved