Top Glove dijangka naikkan harga sarung tangan pada Oktober susulan kos bahan mentah – Phillip Capital

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2026 • 11:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Top Glove dijangka naikkan harga sarung tangan pada Oktober susulan kos bahan mentah – Phillip Capital Image from: Top Glove dijangka naikkan harga sarung tangan pada Oktober susulan kos bahan mentah – Phillip Capital liza23/09/2026 - 11:50 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept – Top Glove Corporation Bhd dijangka menaikkan lagi harga jualan sarung tangan nitril pada Oktober dan November bagi mengimbangi peningkatan kos bahan mentah serta gas asli, menurut Phillip Capital.

 

Firma penyelidikan itu menjangka Top Glove menaikkan harga jualan purata (ASP) sarung tangan nitril sebanyak AS$2 hingga AS$2.50 bagi setiap 1,000 keping pada Oktober 2026 diikuti kenaikan AS$1.50 hingga AS$2 pada November 2026.

 

“Kenaikan harga itu dijangka berlaku ketika harga bahan mentah mula meningkat semula selepas mencatat penurunan daripada paras tertinggi pada Mei 2026.

 

“Kami berpandangan harga nitril meningkat sekitar 30% pada Oktober berbanding paras Ogos manakala harga lateks asli dijangka meningkat kira-kira 4% dalam tempoh sama.

 

“Pada masa sama, harga gas asli domestik dijangka meningkat lebih 30% secara suku ke suku pada suku keempat 2026, menambah tekanan kepada kos pengeluaran pengeluar sarung tangan,” katanya dalam nota kajian.

 

Pengeluar China mula kurang agresif

Menurut Phillip Capital, keadaan persaingan harga dalam industri sarung tangan turut menunjukkan perubahan apabila pengeluar China kini dilihat lebih berdisiplin dalam menetapkan harga.

 

Semakan saluran firma itu mendapati pengeluar sarung tangan China semakin kurang bergantung kepada pemotongan harga secara agresif untuk meningkatkan jumlah jualan.

 

Perubahan itu menyebabkan premium harga jualan purata Top Glove berbanding pengeluar China mengecil kepada kira-kira AS$0.50 bagi setiap 1,000 keping, daripada AS$1 hingga AS$1.50 pada FY2025.

 

Phillip Capital menjangka pengeluar sarung tangan tempatan dan China turut menaikkan harga jualan dalam suku akan datang, sekali gus memberi sokongan kepada keadaan harga dalam industri.

 

Bagi Top Glove, harga jualan purata campuran pada suku keempat FY2026 dijangka meningkat kira-kira 1% secara suku ke suku, terutama hasil kesan tertunda daripada kenaikan harga yang dibuat pada Mei hingga Jun 2026. 

 

Kos meningkat, kapasiti turut ditambah

Dalam masa sama, Top Glove dijangka menambah kira-kira 6 bilion keping kepada kapasiti pengeluarannya pada FY2027 apabila tiga kilang diaktifkan semula secara berperingkat.

 

Phillip Capital berkata kapasiti pengeluaran Top Glove telah mencapai 72 bilion keping pada 4QFY2026, meningkat daripada 64 bilion keping pada FY2025.

 

“Pengaktifan semula tiga kilang itu melibatkan perbelanjaan modal kira-kira RM17 juta, namun pelaksanaannya bergantung kepada ketersediaan pekerja asing dan keadaan pasaran.

 

“Kilang berkenaan akan diaktifkan semula mengikut barisan pengeluaran, membolehkan kapasiti ditingkatkan secara berperingkat berbanding membuka keseluruhan kilang pada satu-satu masa,” katanya.

 

Pada masa sama, tempahan Top Glove kekal stabil sejak Julai dengan peningkatan sederhana dalam beberapa minggu kebelakangan ini, yang berkemungkinan mencerminkan aktiviti pengisian semula stok menjelang kenaikan harga. 

 

Top Glove lihat peluang di Eropah

Phillip Capital berkata bahagian pasaran sarung tangan Malaysia di Amerika Syarikat kini dianggarkan sekitar 50%, berbanding kira-kira 60% pada 2025, susulan pengeluar China yang semakin berkembang ke negara serantau.

 

Vietnam menyumbang sekitar 15% hingga 20% daripada import sarung tangan Amerika Syarikat, Thailand 10% hingga 15%, manakala China dan Indonesia masing-masing kurang daripada 10%.

 

Bagaimanapun, pihak pengurusan Top Glove tidak begitu bimbang dengan bahagian pasaran Amerika Syarikat yang lebih rendah memandangkan permintaan sarung tangan global terus berkembang.

 

Sebaliknya, kumpulan itu mahu meningkatkan kehadirannya di Eropah yang menawarkan margin lebih tinggi.

 

Harga jadi kunci hadapi tekanan kos

Secara keseluruhannya, Phillip Capital melihat keadaan penetapan harga dalam industri sarung tangan semakin berubah apabila pengeluar China menunjukkan disiplin harga yang lebih baik ketika kos input meningkat.

 

Keadaan itu memberikan ruang kepada pengeluar sarung tangan tempatan untuk memindahkan sebahagian peningkatan kos kepada pelanggan melalui pelarasan harga.

 

Namun, lebihan kapasiti industri, turun naik permintaan, kos bahan mentah yang tinggi dan pengembangan kapasiti oleh pengeluar China kekal sebagai risiko kepada industri.

 

Phillip Capital turut menaikkan harga sasaran 12 bulan Top Glove kepada RM0.75 daripada RM0.60, selain menaik taraf penarafan kepada ‘Pegang’ daripada ‘Jual’.

 

Firma itu berkata semakan tersebut mencerminkan keadaan penetapan harga yang semakin baik dalam industri serta pemulihan margin apabila pengeluar mempunyai ruang lebih besar untuk memindahkan peningkatan kos bahan mentah kepada pelanggan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved