sarah19/11/2026 - 17:27 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov - Topmix Berhad menerima sambutan menggalakkan terhadap katalog produk TOPCOR yang diperkenalkan sebelum ini, ketika syarikat memperluas rangkaian bahan kemasan hiasan dalaman bagi memenuhi permintaan pasaran kediaman dan komersial.
Pengarah Urusannya, Teo Quek Siang berkata, perkembangan positif TOPCOR itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat mempelbagaikan penawaran produk, selain mengembangkan rangkaian papan serpai bersalut melamin (MFC) dan penyelesaian komponen perabot Topmix Component.
Menurutnya, produk tambahan berkenaan semakin mendapat tempat dalam pasaran, sekali gus menyokong strategi Topmix untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pembekal pelbagai bahan kemasan dan hiasan dalaman.
“Kami melihat sambutan yang menggalakkan terhadap katalog TOPCOR yang baru diperkenalkan, manakala rangkaian produk tambahan termasuk MFC dan Topmix Component terus menunjukkan perkembangan positif apabila penerimaan pasaran semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
myRuma perluas perniagaan ubah suai rumah
Teo berkata, platform pengubahsuaian rumah digital myRuma turut menunjukkan kemajuan yang baik dalam usaha menawarkan perkhidmatan pengubahsuaian secara berpusat, sekali gus melengkapi perniagaan utama Topmix dalam pembekalan bahan kemasan hiasan.
Beliau berkata, semua inisiatif pengembangan syarikat berjalan mengikut perancangan meskipun sentimen pasaran hartanah ketika ini terjejas sementara oleh ketegangan geopolitik, dengan Topmix bersedia memanfaatkan peningkatan permintaan apabila keadaan pasaran bertambah baik.
Topmix yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada 23 April 2024 kini mempunyai lebih 1,400 pelanggan dan kira-kira 1,000 pilihan reka bentuk merentasi pelbagai kategori produk, dengan pasaran meliputi Malaysia dan Thailand.
Hasil sembilan bulan meningkat kepada RM83.2 juta
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, Topmix mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 9.7% kepada RM83.2 juta, disokong pertumbuhan jualan laminat tekanan tinggi (HPL) sebanyak 8.2% kepada RM73.6 juta, manakala jualan MFC dan panel pintu melonjak 52.1% kepada RM2.5 juta.
Keuntungan kasar kumpulan meningkat 23.5% kepada RM38.2 juta, dengan margin keuntungan kasar bertambah kepada 45.9% daripada 40.8%, hasil gabungan jualan produk yang lebih menguntungkan serta langkah mengawal kos dan mengurus stok dengan lebih teratur. Keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham pula berjumlah RM12.6 juta.
Bagi suku ketiga sahaja, hasil Topmix meningkat 3.7% kepada RM29.3 juta, manakala keuntungan kasar bertambah 16.5% kepada RM13.6 juta. Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM6.7 juta dan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM4.6 juta, ketika meneruskan usaha memperluas produk serta memperkukuh perniagaan sedia ada. - DagangNews.com






