Vertex Material meterai perjanjian bekalan RM8.98 bilion dengan Sky-Dweller, perluas pasaran ke India

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 2:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vertex Material meterai perjanjian bekalan RM8.98 bilion dengan Sky-Dweller, perluas pasaran ke India Image from: Vertex Material meterai perjanjian bekalan RM8.98 bilion dengan Sky-Dweller, perluas pasaran ke India sarah28/10/2026 - 14:37 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt - Syarikat teknologi bahan termaju Malaysia, Vertex Material memperluaskan perjanjian bekalan jangka panjang bernilai kira-kira AS$2.2 bilion (RM8.98 bilion) dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Sky-Dweller Construction LLC, bagi membekalkan bahan komposit tembaga ke pasaran India.

 

Perjanjian pembelian bekalan (offtake agreement) bagi tempoh 15 tahun itu memperluaskan kerjasama pengedaran sedia ada antara kedua-dua syarikat di AS dan Kanada, sekali gus membuka peluang kepada Vertex Material menembusi pasaran perindustrian India.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Vertex Material, Chris Lai berkata, peluasan perjanjian berkenaan merupakan langkah penting dalam usaha syarikat mengembangkan teknologi bahan komposit tembaga yang dibangunkan di Malaysia ke pasaran antarabangsa.

 

"Perjanjian bekalan AS$2.2 bilion (RM8.98 bilion) ini menyediakan asas kukuh untuk fasa pertumbuhan seterusnya bagi menjadikan Vertex Material pemain industri di peringkat global.

 

"Pengembangan ke pasaran India juga akan meningkatkan daya maju kemudahan pengeluaran kami di AS, selain memperluaskan peluang komersial menerusi kerjasama sedia ada di Amerika Utara," katanya pada majlis pemeteraian perjanjian tersebut hari ini.

 

Lai berkata, perjanjian yang dimeterai itu membolehkan Sky-Dweller memperluaskan kawasan pengedaran bahan komposit tembaga Vertex Material daripada AS dan Kanada kepada India, yang merupakan antara pasaran utama bagi permintaan bahan industri berkenaan.

 

Permintaan tembaga India meningkat 12%

Menurut Vertex Material, permintaan tembaga India meningkat 12% tahun ke tahun kepada kira-kira 2.1 juta tan metrik pada tahun kewangan 2026, dipacu pembangunan infrastruktur serta pertumbuhan sektor automotif dan pembinaan.

 

Melalui rangkaian Sky-Dweller, kedua-dua syarikat menyasarkan pembekalan bahan komposit tembaga bagi kegunaan pembuatan industri, infrastruktur elektrik dan tenaga serta sistem pengurusan haba dalam sektor elektronik.

 

Teknologi Vertex Material menggunakan formulasi proprietari dan proses metalurgi serbuk untuk menghasilkan bahan komposit yang menggabungkan tembaga tulen dengan bahan lain, sekali gus mengurangkan keperluan penggunaan tembaga tulen bagi aplikasi tertentu.

 

Lai berkata, teknologi itu bukan bertujuan menggantikan penggunaan tembaga tulen sepenuhnya, sebaliknya membolehkan pengeluar menggunakan logam berkenaan dengan lebih cekap tanpa menjejaskan keperluan prestasi bagi aplikasi yang sesuai.

 

Menurut syarikat itu, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengunjurkan bekalan tembaga daripada lombong sedia ada dan projek yang telah diumumkan berpotensi mengalami kekurangan kira-kira 25% berbanding keperluan tembaga utama dunia menjelang 2035.

 

Majlis menandatangani perjanjian di W Kuala Lumpur itu turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang serta Naib Pengerusi Nasdaq Asia Pasifik & Ketua Penyenaraian Antarabangsa, Bob McCooey. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved