TOTYA 2026 Catat Rekod 849 Penyertaan! KPKT Salur RM150 Juta Lagi Demi Tandas Awam Bertaraf ‘BMW-i’

21 Oct 2026 • 10:56 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

LM Featured Image 900 x 550 px 2160 x 1080 px 52

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekali lagi membuktikan komitmen berterusan dalam mentransformasikan imej serta kemudahan awam negara menerusi penganjuran Majlis Anugerah Tandas Terbaik Tahun 2026 (TOTYA 2026).

Penganjuran kali ini menyaksikan lonjakan luar biasa apabila mencatatkan sebanyak 849 penyertaan, iaitu peningkatan sebanyak 146 peratus berbanding hanya 345 penyertaan semasa ia mula diperkenalkan pada tahun 2023.

Menterinya, Nga Kor Ming menegaskan bahawa kebersihan tandas awam di Malaysia bukan lagi isu terpencil, sebaliknya merupakan cerminan maruah, disiplin, dan peradaban sesebuah negara.

“Standard kebersihan Tandas Awam BMW (Bersih, Menawan, Wangi) kini bukan lagi agenda tersembunyi, tetapi menjadi sebahagian daripada amalan, reputasi, misi dan identiti premis-premis yang mempunyai tandas awam di negara kita.

“Tandas awam yang bersih, menawan dan wangi bukan sekadar soal keselesaan, tetapi merupakan cerminan imej, disiplin dan tahap peradaban sesebuah negara. 

“Kita mahu kebersihan tandas awam menjadi satu budaya nasional. Kerajaan tidak boleh bergerak bersendirian, kita perlu menggembleng kekuatan semua pihak supaya standard kebersihan tandas awam terus ditingkatkan.”

Inisiatif RM150 Juta & Kad Perniagaan Negara

20261020 AFS 4107

Bagi memastikan agenda kebersihan ini mampan,Nga Kor Ming turut mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030. 

Menurut beliau suntikan dana sebanyak RM30 juta setiap tahun ini akan difokuskan khusus bagi menyelenggara, membaik pulih, dan menaik taraf tandas-tandas awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.

Langkah ini disifatkan amat kritikal memandangkan Malaysia kini menjadi tumpuan utama pelancong antarabangsa, terutamanya bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027.

“Tandas awam ialah ‘kad perniagaan’ (calling card) serta garis depan imej sesebuah negara. Apabila pelancong tiba di lapangan terbang, antara tempat pertama yang mereka kunjungi ialah tandas awam. 

“Oleh itu, kita mahu memberikan tanggapan pertama yang baik kepada setiap pelancong melalui penyediaan kemudahan tandas awam yang Bersih, Menawan dan Wangi.

“Kemajuan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui bangunan pencakar langit yang gah, tetapi juga melalui mutu kemudahan asas yang dapat dinikmati oleh setiap lapisan rakyat.”

Selain penambahbaikan fasiliti fizikal, KPKT turut memperkenalkan inovasi Tandas Pintar BMW-i bertaraf enam bintang yang dilengkapi sensor persekitaran, bidet automatik, serta pemantauan digital menerusi Aplikasi Penarafan Bintang Tandas Awam (PBTA). 

Inisiatif pintar yang pertama telah beroperasi di Dataran Putra, Putrajaya dan bakal diperluas ke ibu kota negeri lain di seluruh negara.

Senarai Penuh Pemenang Anugerah TOTYA 2026

DSC 4708

Anugerah TOTYA 2026 mengiktiraf premis terbaik menerusi lapan kategori utama. Pemenang utama bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi dan sijil pengiktirafan. 

Bagi Kategori Stesen Minyak pemenang utama ialah Petronas Presint 18, Putrajaya (Fadhlyn Enterprise), manakala Stesen Petron Bukit Indah di Iskandar Puteri, Johor meraih tempat saguhati pertama dan Petron Senai Jaya (Azam Inovasi Sdn Bhd) dari Senai, Johor menerima hadiah saguhati kedua.

Untuk Kategori Kompleks Beli-Belah Sunway Square Mall dari Subang, Selangor merangkul gelaran pemenang utama dan 1st Avenue Mall, George Town, Pulau Pinang (Smart Beautyhill Services Sdn Bhd) berada di tempat saguhati pertama, diikuti oleh Pavilion Kuala Lumpur yang menerima anugerah saguhati kedua.

Dalam pada itu untuk Kategori Hotel Iconic Marjorie Penang, A Tribute Portfolio Hotel dari Bayan Lepas, Pulau Pinang diumumkan sebagai pemenang utama, manakala Hotel DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City, Selangor memperoleh anugerah saguhati pertama dan Hotel Mercure Miri City Centre, Sarawak meraih tempat saguhati kedua.

Sementara itu Kategori Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Kawasan Rehat & Rawat Seremban (Arah Selatan) di bawah kelolaan PLUS Berhad berjaya merangkul anugerah pemenang utama manakala saguhati pertama dimenangi oleh Restoran Jejantas Sungai Buloh (Arah Utara) oleh PLUS Berhad dan R&R Elmina (Arah Utara) di Lebuhraya Koridor Guthrie (Prolintas) membawa pulang anugerah saguhati kedua.

Bagi Kategori Restoran Restoran The Lotas (Mamakim) Sri Hartamas, Kuala Lumpur (Mamakim Wellness Kitchen Sdn Bhd) muncul sebagai pemenang utama dan Q-Bistro Presint 15, Putrajaya (NRH Venture Sdn Bhd) menduduki tempat saguhati pertama, manakala Gemmica Coffee dari Kuantan, Pahang (Gemmica Coffee Sdn Bhd) memenangi anugerah saguhati kedua.

Selain itu bagi Kategori Sekolah Sekolah Kebangsaan Tok Randok dari Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu dinobatkan sebagai pemenang utama dan Anugerah saguhati pertama diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Taiping, Perak, manakala Sekolah Kebangsaan St. Edmund dari Kota Belud, Sabah meraih tempat saguhati kedua.

Dalam pada itu Kategori Rumah Ibadat Masjid Nurussalam yang terletak di Gerik, Perak telah diumumkan sebagai pemenang utama manakala tempat saguhati pertama milik Masjid Al Huda, Kariah Pokok Sena Dalam, Kedah, manakala Masjid Al-Badr Seribu Selawat dari Pulau Pangkor, Perak menerima anugerah saguhati kedua.

Untuk Kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)Tandas Awam W01 Tasik Barat, Seksyen 14 di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor berjaya merangkul gelaran pemenang utama manakala Tandas Awam Taman Bandar Cukai di bawah Majlis Perbandaran Kemaman, Terengganu menduduki tempat saguhati pertama, manakala Tandas Awam Ujana Perbandaran di bawah Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kedah meraih anugerah saguhati kedua.

Kejayaan penganjuran TOTYA 2026 ini membuktikan bahawa kerjasama antara kerajaan, pihak swasta, dan masyarakat berupaya meletakkan Malaysia di aras yang lebih tinggi dari segi kebersihan dan keselesaan kemudahan awam.

Sumber: Siaran Media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved