Tragedi Banjir & Tanah Runtuh Di Nepal, Kerajaan Salur RM714,000 Kepada Waris Mangsa Malaysia

27 Nov 2026 • 8:31 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

Tragedi Banjir & Tanah Runtuh Di Nepal, Kerajaan Salur RM714,000 Kepada Waris Mangsa Malaysia

Kerajaan MADANI menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM714,000 kepada keluarga rakyat Malaysia yang terkesan akibat tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, bantuan tersebut disalurkan menerusi dua inisiatif, iaitu bantuan khas Kerajaan Persekutuan berjumlah RM540,000 dan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM174,000.

Menerusi bantuan khas yang diluluskan Jemaah Menteri, waris kepada setiap seorang daripada 54 mangsa menerima RM10,000 secara sekali beri atau 'one-off', dengan pelaksanaannya diselaraskan bersama Kementerian Kewangan (MOF).

Image from: Tragedi Banjir & Tanah Runtuh Di Nepal, Kerajaan Salur RM714,000 Kepada Waris Mangsa Malaysia

Sementara itu, sebanyak RM174,000 disalurkan menerusi PERKESO kepada 28 keluarga mangsa yang memenuhi syarat kelayakan sebagai pencarum.

“Bantuan ini merangkumi bayaran kewangan segera sebanyak RM3,000 bagi setiap keluarga serta faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan, tertakluk kepada kelengkapan dokumen dan proses pengesahan kelayakan.

“Kerajaan memahami kesedihan dan kesukaran yang ditanggung keluarga mangsa, justeru bantuan berkenaan diharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terkesan,” katanya.

Menurut Ramanan, meskipun bantuan kewangan tersebut tidak mampu menggantikan kehilangan insan tersayang, kerajaan akan terus memberikan perhatian terhadap kebajikan waris mangsa.

Mengimbas kembali tragedi berkenaan, runtuhan ais dan batuan glasier berhampiran Sungai Lhende di wilayah Tibet, China mencetuskan aliran banjir besar yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet sebelum merebak ke beberapa kawasan di Nepal, termasuk Daerah Rasuwa.

Bencana itu mengakibatkan kemusnahan kediaman, infrastruktur dan laluan perhubungan, sekali gus menjejaskan operasi mencari dan menyelamat.

Pada peringkat awal kejadian, seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan gagal dihubungi sebelum proses pengesahan dan penyelarasan bantuan dilaksanakan kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan terus menyelaras tindakan susulan berkaitan kebajikan keluarga mangsa, termasuk memastikan proses penyaluran bantuan dan faedah PERKESO berjalan lancar.

Kerjasama bersama agensi kerajaan berkaitan turut dilaksanakan bagi memastikan tiada waris yang layak tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved