Tragedi Desa ParkCity: 2 Beradik Maut Akibat Tikaman Di Leher

29 Aug 2026 • 7:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tragedi Desa ParkCity: 2 Beradik Maut Akibat Tikaman Di Leher

KUALA LUMPUR - Dua kanak-kanak yang maut dalam tragedi membabitkan satu keluarga di Desa ParkCity, Kepong pada Khamis, disahkan mengalami kecederaan akibat tikaman di bahagian leher.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penemuan tersebut disahkan menerusi bedah siasat yang dijalankan.

“Bedah siasat ke atas mangsa telah dijalankan semalam bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Bagi isteri mangsa pula, bedah siasat yang dijalankan pada hari sama kira-kira jam 2 petang hingga 7.30 malam mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat objek tajam di bahagian leher dan dada,” katanya hari ini.

Menurutnya, hasil bedah siasat turut mengesahkan anak lelaki pasangan itu meninggal dunia akibat sebab yang sama.

“Bedah siasat bermula pada jam 2 petang dan selesai kira-kira jam 5 petang.

“Sementara itu, bedah siasat ke atas suspek, iaitu bapa kepada keluarga berkenaan, akan dijalankan hari ini selepas pemeriksaan di lokasi kejadian selesai dan dijangka bermula pada jam 2 petang,” katanya.

Fadil berkata, pasukan Forensik Hospital Kuala Lumpur bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi kejadian pagi ini bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, polis masih menyiasat dakwaan yang terkandung dalam satu nota berkaitan ‘love scam’, termasuk dakwaan kewujudan individu yang terlibat dalam penipuan itu serta kerugian dan hutang berjumlah RM260,000.

“Turut masih dalam siasatan ialah kronologi kejadian serta dakwaan bahawa suspek bertindak sendirian membunuh isteri dan dua anaknya sebelum dipercayai membunuh diri,” katanya.

Dalam pada itu, Fadil berkata, keempat-empat mayat masih belum dituntut oleh ahli keluarga.

“Semua mayat hanya akan dituntut selepas proses bedah siasat ke atas suspek selesai, yang dijangka sekitar jam 6 petang ini.

“Pihak keluarga juga mengetahui mengenai masalah ‘love scam’ yang dihadapi serta dakwaan bahawa keluarga berkenaan terperangkap dalam pelaburan haram,” katanya.

Sebelum ini, polis dilaporkan menerima panggilan kecemasan pada jam 3.32 petang berhubung penemuan mayat seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun di sebuah bangunan kediaman di Desa ParkCity.

Turut ditemukan di dalam unit kondominium itu ialah isterinya yang berusia 47 tahun serta dua anak mereka, seorang perempuan dan seorang lelaki, masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun.

Ketiga-tiga mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius di bahagian leher. - Getaran, 29 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved