Luka tikaman di leher punca tiga beranak maut 

29 Aug 2026 • 3:19 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Luka tikaman di leher punca tiga beranak maut 

PETALING JAYA: Bedah siasat terhadap tiga daripada empat sekeluarga yang ditemukan maut di sebuah kondominium di Desa ParkCity, Persiaran Residen, Kepong, kelmarin selesai dijalankan, dengan kesemua mangsa mengalami kecederaan akibat senjata tajam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, bedah siasat pertama membabitkan anak perempuan keluarga berkenaan dijalankan semalam dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah luka tikaman di leher.

Jelasnya, bedah siasat mangsa kedua yang dipercayai isteri suspek dijalankan pada hari sama bermula kira-kira pukul 2 petang dan selesai pada 7.30 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati kematian mangsa disebabkan kecederaan akibat senjata tajam pada bahagian leher dan dada.

“Sementara itu, bedah siasat terhadap mangsa ketiga iaitu anak lelaki turut dijalankan pada pukul 2 petang dan selesai pada 5 petang semalam. Punca kematian kanak-kanak itu juga dikenal pasti sebagai luka tikaman di leher,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, bedah siasat terhadap suspek yang juga bapa dan suami kepada mangsa dijadualkan dijalankan hari ini selepas proses pemeriksaan di tempat kejadian selesai.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap suspek dijangka bermula kira-kira pukul 2 petang.

“Keempat-empat mayat masih belum dituntut dan hanya akan dituntut selepas selesai proses bedah siasat terhadap mayat suspek yang akan dijalankan pada pukul 2 petang dan dijangka selesai pada pukul 6 petang ini,” katanya.

Dalam pada itu, hasil siasatan terhadap ahli keluarga mendapati mereka mengetahui mangsa mempunyai masalah berkaitan penipuan cinta dan dipercayai terperangkap dalam kegiatan pelaburan haram.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif serta punca sebenar kejadian,” katanya.

Semalam, polis memaklumkan kejadian empat sekeluarga ditemukan maut dalam kondominium berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan cinta yang menyebabkan kerugian dan hutang mencecah RM260,000.

Suspek utama, lelaki berusia 48 tahun, dipercayai membunuh isteri dan dua anaknya sebelum ditemukan terjatuh dari unit kediaman berkenaan.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meninggalkan sekeping nota di atas meja makan sebelum kejadian.

Menurutnya, nota berkenaan menyatakan rasa kesal suspek terhadap isterinya yang didakwa masih cuba menghubungi individu dipercayai ‘scammer’ terbabit. – UTUSAN

The post Luka tikaman di leher punca tiga beranak maut  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved