Tragedi Long Lellang: Jenazah 5 Mangsa Diserah Kepada Keluarga Hari Ini 

12 Sep 2026 • 4:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tragedi Long Lellang: Jenazah 5 Mangsa Diserah Kepada Keluarga Hari Ini 

KUCHING - Jenazah kesemua lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang pada Selasa lalu akan diserahkan kepada keluarga masing-masing hari ini selepas proses pengecaman melalui analisis DNA selesai.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, jenazah akan diserahkan kepada waris terdekat selepas semua dokumentasi yang diperlukan selesai.

“Pada hari ini kita akan menyerahkan jenazah mangsa. Setelah dokumentasi selesai, jenazah akan diserahkan kepada keluarga,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Perkembangan itu membolehkan keluarga mangsa meneruskan urusan pengebumian dan pengurusan jenazah masing-masing.

Mayat pembantu perubatan, Alexson Adit Henry akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Anglican di Lambir selepas upacara keagamaan di Good Shepherd Church, Lutong pada jam 9 pagi Selasa ini.

Kakaknya, Annastasia Luyah dalam hantaran di Facebook memaklumkan, upacara penghormatan terakhir akan diadakan pada Isnin di kediaman keluarga mereka di Taman Desa Senadin.

Upacara penghormatan terakhir bagi jururawat Jessie Paya Jok pula akan diadakan di Taman Wang Lusut, manakala bagi seorang lagi jururawat, Debra Moset, ia akan berlangsung di Kampung Semadang, Padawan, Kuching. 

Tarikh pengebumian kedua-dua mangsa bagaimanapun belum diumumkan.

Nahas itu meragut nyawa kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter BO-105 kendalian Layang-Layang Aerospace selepas pesawat berkenaan terhempas berhampiran hujung landasan Lapangan Terbang STOL Long Lellang kira-kira jam 3.40 petang Selasa lalu.

Selain Alexson, Jessie dan Debra, dua lagi mangsa yang maut ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, dan pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33.

Jenazah Dr Ainul Baraah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper, Kelantan, manakala Zainol Afiq akan dikebumikan di Negeri Sembilan.

Mohamad Zainal semalam memaklumkan bahawa bedah siasat ke atas kesemua lima mangsa telah selesai dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Miri pada jam 7.30 malam Khamis, manakala analisis DNA dijangka selesai hari ini. - Getaran, 12 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved