
KUCHING - Polis sedang menelusuri perjalanan helikopter BO-105 bermula dari Miri sehingga ke lokasi nahas berhampiran Long Lellang, termasuk meneliti lokasi pengisian bahan api, laluan penerbangan, keterangan saksi serta kemungkinan panggilan kecemasan dibuat sebelum kejadian.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada siasatan lanjut berhubung nahas yang mengorbankan lima individu pada Selasa lalu.
Ketua Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, setakat ini pihaknya sudah merakam keterangan daripada 19 saksi dan akan memanggil beberapa individu lain sekiranya diperlukan.
"Kami sudah merakam keterangan daripada 19 saksi dan akan memanggil beberapa lagi individu jika perlu.
“Polis juga akan kembali ke lokasi berkaitan bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci mengenai kejadian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bersama pengamal media tempatan di Kuching, malam tadi.
Menurutnya, polis akan meneliti keseluruhan kronologi penerbangan, bermula daripada helikopter berlepas dari Miri sehingga ke destinasi terakhirnya, termasuk rekod penerbangan serta kemungkinan wujudnya sebarang panggilan kecemasan.
“Segala-galanya akan diteliti, bermula daripada helikopter berlepas sehingga kejadian berlaku. Lokasi yang dikunjungi serta apa sahaja maklumat yang boleh membantu siasatan akan diperiksa,” katanya.
Sementara itu, siasatan teknikal berhubung nahas berkenaan telah diserahkan kepada Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memberikan kerjasama sekiranya diperlukan.
Mohamad Zainal berkata tempoh untuk melengkapkan siasatan bergantung kepada jumlah saksi tambahan yang perlu ditemu bual serta lokasi yang perlu diperiksa semula.
Bagaimanapun, katanya, polis akan berusaha menyelesaikan siasatan itu dalam tempoh secepat mungkin.
Terdahulu, beliau memaklumkan, semua jenazah lima mangsa nahas berkenaan telah dituntut oleh keluarga masing-masing.
Helikopter digunakan untuk Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) itu terhempas berhampiran Lapangan Terbang Short Take-Off and Landing (STOLport) Long Lellang pada Selasa.
Ia membawa bersama juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. - Getaran, 14 September 2026






