Polis teliti lokasi terakhir helikopter isi minyak

14 Sep 2026 • 3:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis teliti lokasi terakhir helikopter isi minyak

PETALING JAYA: Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca nahas helikopter terhempas di Long Lellang, Ulu Baram sehingga mengakibatkan lima individu termasuk kakitangan Kementerian Kesihatan terkorban.

Siasatan turut meneliti setiap hentian dilalui helikopter terbabit termasuk lokasi terakhirnya berhenti mengisi minyak sebelum meneruskan penerbangan ke Long Lellang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, setakat ini 19 individu telah direkodkan keterangan berhubung nahas dan beliau tidak menolak kemungkinan beberapa lagi akan dipanggil.

Katanya, proses merakam percakapan masih lagi berjalan dan siasatan turut merangkumi lokasi pesawat itu mengisi minyak.

“Di situ juga penting untuk kita lihat sama ada terdapat apa-apa perkara yang boleh dilihat dari sudut lain yang mungkin menyebabkan helikopter tersebut terhempas.

“Di situ juga kita menyiasat, sebab itulah destinasi terakhir helikopter tersebut sebelum terbang, tetapi saya tidak boleh mengatakan atau membuat andaian apa-apa, cuma prosedur biasa.

“Semua tempat itu, bermula dari penerbangan di Miri lagi, kita kena lihat, sehingga mereka ke balai hingga ke Long Siut dan juga sebelum ke Long Lellang. Itu antara sudut siasatan kita,” katanya seperti di laporkan media tempatan Sarawak.

Mohamad Zainal berkata, jika terdapat sesuatu yang luar daripada kebiasaan hasil siasatan berkenaan, polis perlu menelitinya, namun setakat ini tidak terdapat sebarang petunjuk yang menunjukkan unsur lain, selain kemalangan.

“Bagaimanapun, polis tetap menjalankan siasatan secara menyeluruh kerana itu prosedur biasa. Walaupun kes disiasat di bawah mati mengejut, polis juga mengambil kira faktor-faktor lain untuk melengkapkan siasatan.

“Namun, untuk siasatan teknikal, ia dibuat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara. Saya serahkan kepada mereka. Kalau mereka perlukan bantuan kita, kita sedia membantu kerana ia ada hubung kait antara PDRM dan biro ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan semua jasad mangsa telah selamat dituntut oleh keluarga masing-masing.

Dalam kejadian pada 8 September lalu, sebuah helikopter jenis BO-105 milik Layang-Layang Aerospace yang diterbangkan Kapten Zainol Afiq Bee Sham, membawa empat petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dalam perjalanan ke Long Lellang, Ulu Baram sebelum terhempas dan terbakar di penghujung landasan STOLport Long Lellang.

Helikopter terbabit sebelum itu dilaporkan singgah di Long Siut untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke Long Lellang.

Selain Kapten Zainol, 30, empat lagi mangsa yang terkorban dalam nahas itu ialah pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. – UTUSAN

The post Polis teliti lokasi terakhir helikopter isi minyak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved