Tragedi lori hempap MPV: Pemandu direman empat hari

4 Nov 2026 • 2:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tragedi lori hempap MPV: Pemandu direman empat hari
Pemandu lori (kanan) direman empat hari bagi membantu siasatan.

BATU PAHAT – Pemandu lori membawa muatan tar yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan pasangan suami isteri di Jalan Yong Peng-Muar, berhampiran Parit Yaani, Ahad lalu, direman selama empat hari bermula Rabu.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 30 tahun itu dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman di Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

Lelaki terbabit tiba di mahkamah kira-kira jam 8.15 pagi selepas dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, lori dipandunya dipercayai mengalami masalah tayar pecah sebelum hilang kawalan dan terbalik sehingga menghempap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki empat sekeluarga.

Insiden itu menyebabkan pasangan suami isteri, Mohd Hardi Mohd Husin, 46, dan Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan serta melecur.

Dua anak mereka, Hasya Fahira Zulkifli, 11, dan Muhammad Adam, 8, turut mengalami kecederaan dan melecur sebelum dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Kejadian menyayat hati itu turut menyebabkan kedua-dua kanak-kanak berkenaan kehilangan tempat bergantung selepas ibu bapa mereka maut dalam nahas terbabit.

Difahamkan, keluarga itu dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Parit Maimon, Parit Sulong selepas selesai membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya di Yong Peng.

Sementara itu, pemandu lori terbabit turut mengalami kecederaan pada badan dipercayai akibat terhantuk pada stereng kenderaan ketika kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved