SHAH ALAM - “Ya ALLAH, kembalikanlah dia kepada kami dengan selamat."
Itu luahan penuh harapan Aziela Shaharuddin yang masih menanti perkembangan suaminya, Mohd Sani Harul, yang dilaporkan tidak diketahui keberadaan bersama pasukannya di Nepal sejak lima hari lalu.
Menerusi hantaran di Threads, Aziela memanjatkan doa agar suaminya sentiasa berada dalam lindungan ALLAH SWT selain memohon supaya segala usaha mencari dan menyelamat dipermudahkan.
“Ya ALLAH, hanya Engkau yang Maha Mengetahui. Engkau tahu di mana dia berada. Engkau melihatnya ketika mata kami tidak mampu melihatnya.
“Engkau mendengar suaranya ketika telinga kami tidak mampu mendengarnya. Engkau mengetahui keadaannya ketika kami hanya mampu menunggu dan berharap,” katanya.
Mohd Sani antara dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang masih gagal dihubungi susulan banjir besar di Nepal ketika menyertai aktiviti trekking ke Everest Base Camp.
Muhammad Sani berpangkat Penolong Pesuruhjaya Bomba dan merupakan Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan di Ibu Pejabat JBPM.
Seorang lagi anggota, Fakhrul Munir Mohamad Isa merupakan Pegawai Latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah.
Aziela berkata, keluarganya menyerahkan keselamatan Mohd Sani kepada ALLAH SWT kerana tidak mampu berada di sisi suaminya ketika musibah berlaku.
Dalam doa itu, beliau turut memohon agar suaminya dilindungi daripada ancaman arus banjir, runtuhan, kesejukan, kecederaan serta segala bahaya yang tidak diketahui.
Beliau turut berdoa supaya usaha pasukan mencari dan menyelamat dipermudahkan serta mereka diberikan petunjuk untuk menemui lokasi mangsa.
“Pimpinlah mereka ke tempat dia berada. Tunjukkanlah kepada mereka jalan untuk sampai kepadanya.
“Jika ada seseorang yang berada dekat dengannya dan mampu membantu, gerakkanlah hati orang itu untuk menemui dan menyelamatkannya,” katanya.
Aziela berkata, keluarganya hanya mampu terus berusaha dan berdoa sambil menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH SWT.
“Maka kami mohon, Ya ALLAH, dengan sepenuh hati kami, kembalikanlah beliau kepada keluarganya.
“Kembalikanlah dia kepada anak-anaknya. Kembalikanlah dia kepada saudara-maranya yang sedang menunggu. Kembalikanlah dia dalam keadaan selamat dan sihat,” katanya.
Beliau turut memohon agar suaminya diberikan kekuatan, kesabaran dan harapan sekiranya sedang berusaha untuk terus bertahan.
Pada masa sama, Aziela mengakui keluarganya berada dalam keadaan takut, risau dan sedih, namun tidak mahu berputus asa daripada rahmat ALLAH SWT.
“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Tetapi kami tidak mahu berputus asa daripada rahmat-Mu.
“Janganlah Engkau biarkan hati kami kalah dengan ketakutan. Kurniakanlah kami kesabaran untuk terus menunggu dan kekuatan untuk terus berusaha,” katanya.
Aziela turut meluahkan kerinduan mendalam terhadap suaminya dan berharap diberikan kesempatan untuk bertemu semula.
“Engkau tahu betapa kami merinduinya. Engkau tahu betapa kami ingin melihat wajahnya semula. Kami ingin memeluknya semula.
“Mungkin ada kata yang belum sempat kami ucapkan kepadanya. Mungkin ada perkara yang kami harap masih diberi kesempatan untuk kami lakukan bersamanya,” katanya.
Beliau berkata, keluarganya tidak mengetahui apa yang sedang berlaku, namun yakin ALLAH SWT mengetahui segala-galanya.
“Kami tidak tahu di mana dia berada, tetapi Engkau tahu. Kami tidak mampu mencapainya, tetapi Engkau Maha Berkuasa untuk mencapainya.
“Sebab itu, Ya ALLAH, pada saat ini kami letakkan seluruh harapan kami kepada-Mu. Kami serahkan dia kepada-Mu. Kami serahkan keselamatannya kepada-Mu,” katanya.
Mengakhiri doanya, Aziela memohon agar kegelisahan mereka digantikan dengan ketenangan, ketakutan dengan keselamatan, air mata dengan kegembiraan dan penantian dengan pertemuan semula.
“Ya ALLAH, kuatkanlah dia. Ya ALLAH, permudahkanlah mereka yang mencarinya. Ya Allah, kembalikanlah dia kepada kami dengan selamat.
“Kami tidak meminta sesuatu yang besar, Ya ALLAH. Kami hanya memohon beliau untuk kembali kepada keluarganya. Maka Ya ALLAH, kabulkanlah doa kami.
“Amin Ya Rabbal ‘Alamin,” katanya.






