
MARAN: Tangisan pilu mengiringi perjalanan terakhir empat sekeluarga apabila jenazah mereka disemadikan dalam satu liang lahad, selepas maut dalam tragedi pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur-Karak berhampiran Janda Baik, Bentong, dekat sini.
Jenazah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd. Radzi Rahimi, 40; isterinya, Nuraini Mohammad Jafri, 36; anak mereka, Muhammad Rizz Hazim, 5, serta adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Chedung di sini pukul 3.15 pagi ini.
Terdahulu, kesemua jenazah dituntut ahli keluarga secara berperingkat antara pukul 10 malam hingga 11.45 malam selepas selesai menjalani bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Kampung Paya Luas, Temerloh untuk dimandi, dikafankan dan disolatkan sebelum dibawa pulang ke Maran.
Turut menyertai solat jenazah ialah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Setibanya di Maran, solat jenazah sekali lagi diadakan di Masjid Asy-Syakirin, Bandar Maran sebelum diiringi ke Tanah Perkuburan Islam Sri Chedung untuk urusan pengebumian.
Suasana hiba menyelubungi kawasan perkuburan apabila ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan tidak dapat menahan sebak ketika memberikan penghormatan terakhir kepada empat mangsa yang ‘pergi’ serentak.
Tragedi meragut empat nyawa itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam apabila kenderaan pikap dinaiki mereka dihempap sebatang pokok besar ketika melalui Jalan Lama Kuala Lumpur-Karak berhampiran pintu gerbang Janda Baik. Difahamkan, keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Janda Baik.
Seorang lagi anak kembar pasangan berkenaan, Muhammad Rizz Haziq, terselamat dalam tragedi itu namun mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh. – UTUSAN
The post Tragedi pokok tumbang: Empat sekeluarga dikebumi satu liang lahad appeared first on Utusan Malaysia.






