Transaksi BNPL cecah RM14.7 bilion pada separuh pertama 2026 - Parlimen diberitahu

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 9:04 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Transaksi BNPL cecah RM14.7 bilion pada separuh pertama 2026 - Parlimen diberitahu Image from: Transaksi BNPL cecah RM14.7 bilion pada separuh pertama 2026 - Parlimen diberitahu sarah14/10/2026 - 09:04 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt - Nilai keseluruhan transaksi skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) di Malaysia mencecah RM14.7 bilion menerusi 173.9 juta transaksi pada separuh pertama 2026, dengan golongan muda berusia 30 tahun dan ke bawah menyumbang RM5.4 bilion.

 

Jumlah transaksi dalam kalangan golongan muda itu melibatkan 65.9 juta transaksi, merangkumi 37.9% daripada keseluruhan transaksi BNPL di negara ini serta 36.7% daripada jumlah nilai transaksi bagi tempoh berkenaan.

 

Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada pertanyaan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Alias Razak (Kuala Nerus) berkata, baki terkumpul pembiayaan BNPL dalam kalangan belia berjumlah RM2.4 bilion setakat 30 Jun 2026.

 

Bagaimanapun, jumlah pembiayaan BNPL tidak berbayar bagi kumpulan itu masih terkawal pada RM96.8 juta, bersamaan 4.0% daripada keseluruhan baki pembiayaan terkumpul mereka.

 

Bagi memperkukuh perlindungan pengguna dan pemantauan industri, kerajaan menggubal Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) serta menubuhkan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) untuk mengawal selia sektor kredit pengguna bukan bank, termasuk penyedia BNPL.

 

bnpl

 

Mulai 1 Jun 2026, semua penyedia BNPL diwajibkan mendapatkan lesen daripada SKP dan mematuhi keperluan kawal selia yang ditetapkan.

 

Di bawah Akta 873, penyedia BNPL juga perlu melaksanakan penilaian kelayakan kredit dan kemampuan berhutang sebelum menawarkan kemudahan kredit kepada pengguna, khususnya golongan muda.

 

Penilaian itu mengambil kira kedudukan kewangan serta komitmen kredit sedia ada pengguna bagi memastikan kemudahan pembiayaan yang ditawarkan bersesuaian dengan kemampuan pembayaran balik mereka.

 

Selain itu, penyedia BNPL perlu mematuhi Standard Pelakuan yang menetapkan keperluan berkaitan ketelusan maklumat, pendedahan terma dan caj, pemasaran bertanggungjawab, layanan adil kepada pengguna serta amalan kutipan hutang beretika.

 

 

 

 

SKP turut bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Financial Education Network (FEN) bagi memperkukuh literasi kewangan, khususnya kesedaran mengenai penggunaan BNPL secara bertanggungjawab.

 

Kerajaan melalui SKP akan terus memantau perkembangan industri BNPL dan tahap keberhutangan pengguna, terutama golongan belia, bagi memastikan keseimbangan antara inovasi, akses kepada kredit dan perlindungan hak pengguna terus terpelihara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved