Transisi tenaga tidak hapus keperluan gas

Business & Finance
3 Sep 2026 • 5:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Transisi tenaga tidak hapus keperluan gas

KUALA LUMPUR: Transisi tenaga yang sedang dilaksanakan Malaysia tidak akan menghapuskan keperluan terhadap gas asli, malah permintaan terhadap sumber tenaga itu dijangka terus meningkat dalam tempoh akan datang.

Presiden Persatuan Gas Malaysia (MGA), Abang Yusuf Abang Puteh berkata, perkembangan itu menjadikan pengukuhan ekosistem gas dan gas asli cecair (LNG) penting bagi memastikan keselamatan bekalan tenaga, ketersediaan infrastruktur serta kestabilan pasaran.

Menurutnya, berdasarkan unjuran penggunaan tenaga, Jumlah Bekalan Tenaga Utama (TPES) Malaysia meningkat daripada 95 juta tan setara minyak (MTOE) dan dijangka mencapai 117 MTOE menjelang 2040 sebelum menurun kepada 102 MTOE pada 2050.

Bagaimanapun, katanya, gas dijangka terus memainkan peranan penting dalam campuran tenaga negara apabila penggunaannya diunjurkan meningkat daripada 41 MTOE kepada 57 MTOE pada 2050.

“Apabila kita bercakap mengenai transisi tenaga, perubahan yang diharapkan berlaku dengan cepat, tetapi ia tidak menghilangkan keperluan terhadap gas.

“Sebenarnya, keperluan gas telah meningkat,” katanya ketika menyentuh prospek industri gas dan agenda transisi tenaga negara, “ katanya dalam sesi EIC Connect bertajuk “Masa depasn sudah tiba-gas adalah destinasi” sempena Pameran dan Persidangan Minyak dan Gas Asia 2026 (OGA 2026) di sini hari ini.

Menurut Abang Yusuf, peningkatan kebergantungan Malaysia terhadap LNG turut memerlukan pembangunan infrastruktur yang kukuh bagi menyokong keseluruhan rantaian bekalan gas.

Katanya, infrastruktur berkenaan bukan hanya membabitkan terminal LNG, tetapi turut merangkumi sistem penghantaran dan rangkaian gas yang membolehkan bekalan disalurkan secara berkesan ke seluruh negara.

Pada masa sama, beliau memberi peringatan bahawa kebergantungan lebih tinggi terhadap LNG akan mendedahkan Malaysia kepada pergerakan harga gas dan dinamik pasaran antarabangsa.

“Kita perlu berhati-hati kerana apabila semakin bergantung kepada LNG, kita turut terdedah kepada harga gas antarabangsa.

“Bukan hanya harga, tetapi juga pasaran antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Yusuf berkata, isyarat pasaran yang tepat, khususnya berkaitan harga gas, penting bagi memastikan pelaburan dalam infrastruktur dan industri gas terus berkembang.

Ujarnya, tiga komponen utama iaitu keselamatan bekalan tenaga, infrastruktur dan pasaran perlu bergerak seiring bagi memastikan Malaysia mampu memenuhi keperluan gas pada masa depan.

“Ketiga-tiga komponen ini sangat penting dan tidak boleh dipisahkan apabila kita bercakap mengenai penghantaran lebih banyak gas dan LNG ke Malaysia.

“Kami percaya gas asli merupakan sebahagian daripada jawapan kepada keperluan tenaga negara,” katanya. – UTUSAN

The post Transisi tenaga tidak hapus keperluan gas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved