Trend S-Line Makin Menjadi-jadi, Buka Aib & Jejaskan Maruah – MTPN

21 Jul 2025 • 3:52 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja trend terbaharu muncul di media sosial yang sering menjadi ikutan khususnya golongan muda.

Ada yang diikuti dari media sosial dan ada juga yang popular selepas tayangan sesebuah drama atau filem.

Bagaimanapun, ada sebahagian trend yang tidak bersesuaian untuk dilakukan oleh orang beragama Islam seperti trend ‘baju butterfly’ dan trend menari sambil terima duit raya.

Terbaharu, tular pula trend ‘S-Line’ yang menjadi ikutan ramai sehingga Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menzahirkan kebimbangan.

Apa itu trend S-Line?

Naib Presiden Kebangsaan MTPN, Datuk Mohd Faiz Zulkifli berkata, trend ini menunjukkan individu dengan garisan merah dilukis di atas kepala yang didakwa sebagai pengalaman seksualiti mereka.

Dalam bahasa mudahnya, semakin banyak garisan dilukis di atas kepala, maka semakin banyak pengalaman seks individu itu.

Menurutnya, trend berkenaan dipercayai diinspirasikan daripada sebuah drama Korea bertajuk S Line yang menjadi ikutan dalam kalangan pengguna muda termasuk remaja Muslim.

Buka ruang, dedah aib

Ujar Mohd Faiz, trend ‘S-Line’ disifatkan membuka ruang kepada pendedahan aib secara terbuka dan bertentangan dengan nilai agama serta norma masyarakat Timur.

“Ada yang mengaitkan dengan perbuatan zina jika yang melakukan itu belum berkahwin. Meskipun ia kelihatan hanya simbolik, namun realitinya menjurus kepada pendedahan maruah dan mendorong membuka aib secara terbuka.

“Lebih membimbangkan, trend ini disertai semata-mata kerana pengaruh sosial dan perasaan takut ketinggalan (FOMO) sehingga mengetepikan batas agama serta adab dalam berpakaian dan perilaku,” katanya dipetik Sinar Harian.

Umat Islam jangan terikut-ikut trend S-Line

Menurutnya lagi, umat Islam diminta agar lebih berprinsip serta tidak terikut-ikut dengan trend tersebut.

Jelasnya, agama Islam sendiri menegah umatnya membuka aib secara sengaja apatah lagi untuk tontonan umum.

“Masyarakat Muslim khususnya golongan muda dinasihatkan agar lebih berprinsip dan tidak terikut-ikut dengan sebarang trend yang memperdagangkan maruah demi perhatian atau kandungan tular.

“Sebagai pengguna, kita perlu bijak menilai kandungan yang sesuai dikongsi. Maruah bukan untuk dijadikan bahan tontonan atas nama hiburan atau simbolisme kosong,” katanya.

Manfaatkan media sosial, bukan jatuhkan harga diri

Sehubungan itu, katanya, pihak MTPN menasihatkan agar setiap individu memanfaatkan media sosial seperti:

  1. Platform perkongsian ilmu
  2. Mengambil nilai positif
  3. Menjadi inspirasi yang membina

“Ibu bapa, pendidik dan masyarakat secara keseluruhan juga digesa untuk memainkan peranan dalam mendidik anak-anak agar lebih berwaspada terhadap pengaruh trend luar yang bercanggah dengan prinsip Islam dan budaya tempatan.

“Kita di pihak MTPN akan terus komited memberi kesedaran kepada pengguna berkaitan penggunaan media sosial secara beretika, berpaksikan nilai dan tidak merosakkan kesejahteraan sosial,” katanya.

Sebagai info, S Line menampilkan pelakon Korea Selatan seperti Lee Soo-hyuk, Lee Da-hee, Arin, Lee Eun-saem, Nam Kyu-Hee dan ramai lagi.

Source: