
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendesak Kongres supaya meluluskan Clarity Act, rang undang-undang yang bertujuan memberikan kerangka kawal selia lebih jelas kepada industri kripto.
Desakan itu dibuat ketika Trump menjadi tuan rumah acara berkaitan kripto di White House yang turut dihadiri beberapa tokoh utama industri, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Coinbase, Brian Armstrong dan CEO Robinhood, Vlad Tenev.
Trump menyifatkan kelulusan Clarity Act sebagai langkah seterusnya bagi mewujudkan peraturan yang lebih jelas untuk sektor kripto di AS.
Apa Itu Clarity Act?
Clarity Act bertujuan menentukan dengan lebih jelas aset kripto mana yang dikategorikan sebagai sekuriti dan mana yang dianggap komoditi.
Rang undang-undang itu turut menetapkan bidang kuasa agensi seperti Securities and Exchange Commission (SEC) dan Commodity Futures Trading Commission (CFTC) dalam mengawal selia sektor tersebut.
Ketidakjelasan mengenai perkara ini selama ini menjadi antara cabaran utama kepada syarikat kripto di AS.
Dengan peraturan yang lebih jelas, industri berpotensi mendapat kepastian undang-undang lebih tinggi dan mengurangkan risiko berdepan tindakan penguatkuasaan atau pertikaian mahkamah.
Trump Terus Bawa Agenda Pro-Kripto
Trump sememangnya semakin agresif membawa agenda mesra kripto sejak kembali ke White House pada Januari 2025.
Pada Selasa, SEC turut mencadangkan peraturan baharu yang bakal mengecualikan sesetengah penerbitan token daripada peraturan sekuriti tertentu.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha pentadbiran Trump untuk membentuk AS sebagai negara yang lebih mesra industri kripto.
Namun, Clarity Act masih berdepan cabaran di Senat.
Sebahagian anggota Demokrat dan beberapa Republikan mahu rang undang-undang tersebut memasukkan larangan terhadap pegawai politik, termasuk Trump, daripada mendapat keuntungan daripada perniagaan kripto sendiri.
Risiko Konflik Kepentingan Jadi Perhatian
Isu ini menjadi lebih sensitif kerana Trump dan keluarganya mempunyai kepentingan dalam beberapa perniagaan kripto, termasuk World Liberty Financial dan Trump meme coin.
Tinjauan Reuters/Ipsos minggu ini menunjukkan majoriti rakyat Amerika yang ditinjau berpendapat Trump dan keluarganya mendapat keuntungan secara tidak wajar daripada sektor kripto.
Trump bagaimanapun menegaskan beliau tidak mempunyai peranan harian dalam perniagaan keluarganya dan mengatakan pelaburannya diurus secara bebas.
Jika Kongres akhirnya meluluskan Clarity Act, pasaran kripto berpotensi menerima sentimen positif susulan pengurangan ketidakpastian kawal selia.
Namun, selagi rang undang-undang itu belum mendapat kelulusan Kongres, ketidakpastian mengenai masa depan peraturan kripto di AS masih berpotensi memberi kesan kepada sentimen pasaran.






