amree24/09/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept — Tekanan terhadap saham Zetrix AI Berhad semakin ketara apabila Pengarah Urusannya, Wong Thean Soon atau TS Wong, meneruskan penjualan saham syarikat itu, dengan jumlah pegangan langsung dan tidak langsungnya kini susut kepada 10.97%.
Beliau menjual 629,131 saham daripada pegangan langsungnya dengan harga 20 sen sesaham dan kemudian sebanyak 6.8 juta saham dalam pegangan tidak langsungnya menerusi Asia Internet Holdings Sdn Bhd dengan harga 19.7 sen sesaham pada 21 September 2026.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, susulan transaksi itu, pegangan langsung TS Wong berkurangan kepada 6.18% atau 488.33 juta saham, manakala kepentingan tidak langsung menerusi Asia Internet Holdings susut kepada 4.78% atau 377.77 juta saham.
Perkembangan itu berlaku ketika saham Zetrix AI mengalami kejatuhan ketara dalam tempoh sebulan, dengan harga saham susut hampir 72%, sekali gus menghapuskan kira-kira RM3.75 bilion daripada nilai pasaran syarikat.
Pada 22 September 2026, The Edge melaporkan Asia Internet Holdings tidak lagi menjadi pemegang saham besar Zetrix AI selepas melupuskan 57 juta saham pada 18 September 2026, walaupun pada hari sama ia menerima 6.24 juta saham menerusi pelan pelaburan semula dividen (DRP).

Laporan tahunan Zetrix AI bagi 2026 sebelum ini menyenaraikan TS Wong dan Asia Internet Holdings sebagai dua pemegang saham besar syarikat rumusan teknologi berkenaan.
Selain tekanan daripada penjualan saham, Zetrix AI turut berdepan isu pembayaran dividen apabila Lembaga Pengarah syarikat itu pada 18 September 2026 mengumumkan penangguhan keseluruhan pembayaran dividen tunai sebanyak 2.89 sen sesaham.
Tindakan tersebut susulan perintah mahkamah yang diperoleh oleh seorang pemegang saham besar bagi menghalang syarikat berkenaan daripada menyalurkan dividen tunai kepada akaun tertentu yang didakwa sebagai dimilikinya.
Pemegang saham berkenaan, yang tidak dinamakan oleh Zetrix AI, mendakwa pihak penama gagal melaksanakan arahan untuk menerima saham menerusi DRP sebagai ganti kepada dividen tunai.
Dalam perkembangan pasaran, saham Zetrix AI ditutup dua sen atau 9.76% lebih rendah dengan harga 18.5 sen pada dagangan 23 September 2026, memberikan syarikat itu nilai pasaran RM1.49 bilion. - DagangNews.com





