amree24/09/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept — AYS Ventures Berhad bakal melepaskan 74% pegangan dalam Steelaris Pte Ltd kepada CosmoSteel Holdings Pte Ltd pada nilai S$5.18 juta (kira-kira RM16.5 juta), sebagai langkah mengoptimumkan portfolio pelaburan selain mengurangkan pinjaman.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, transaksi itu menyaksikan kumpulan menerima S$1.813 juta (RM5.79 juta) secara tunai manakala baki S$3.367 juta (RM10.74 juta) melalui penerbitan 13.468 juta saham baharu CosmoSteel dengan harga S$0.25 (RM0.80) sesaham.
Menerusi transaksi tersebut, kumpulan tidak lagi akan menyatukan keputusan kewangan Steelaris dalam penyata kewangannya, dan menjadikan hasil serta keuntungan atau kerugian daripada operasi syarikat di Singapura itu berkurangan selepas pelupusan selesai.
"Bagaimanapun, AYS akan terus ada kepentingan ekonomi tidak langsung dalam perniagaan gabungan menerusi pegangan dalam CosmoSteel, dengan pegangan dalam CosmoSteel dijangka meningkat kepada 18.9%, daripada hanya 14.9% pada ketika ini," katanya.
Perjanjian jual beli (SPA) dimeterai pada 22 September 2026 dengan Hanwa Singapore (Private) Ltd, Hyundai Corporation Singapore Pte Ltd dan dua pemegang saham lain menjual keseluruhan kepentingan mereka dalam Steelaris kepada CosmoSteel bernilai S$7 juta (RM22.3 juta).
Steelaris, yang diperbadankan di Singapura pada 2011, menjalankan perniagaan perdagangan produk keluli dan memiliki 100% kepentingan dalam SPL Services Sdn Bhd, yang menyediakan perkhidmatan perakaunan, pentadbiran dan pengurusan.

Pertimbangan pelupusan itu ditentukan berdasarkan rundingan antara pembeli dan penjual dengan mengambil kira nilai aset bersih Steelaris belum diaudit sekitar S$5.42 juta (RM17.3 juta) pada 30 Jun 2026 serta rasional dan manfaat transaksi tersebut.
"AYS menjangkakan pelupusan itu menghasilkan kerugian S$0.324 juta (RM1.03 juta) selepas pelarasan penyatuan, namun transaksi ini tidak dijangka memberi kesan material terhadap hasil dan pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027," katanya.
Selain itu jelasnya, pemerolehan secara tunai daripada transaksi akan digunakan bagi keperluan modal kerja semasa kumpulan dan anak syarikatnya, termasuk membiayai operasi harian, pembayaran pemiutang perdagangan serta perolehan barangan.
Dari sudut kedudukan kewangan, pelupusan itu dijangka mengurangkan pinjaman daripada RM378.50 juta kepada RM334.67 juta, manakala nisbah hutang susut daripada 0.82 kali kepada 0.73 kali, dan nilai aset bersih sesaham pula dijangka turun daripada RM1.10 kepada RM1.09.
Justeru, AYS berpandangan usaha gabungan Steelaris dan CosmoSteel berpotensi mewujudkan sinergi menerusi rangkaian lebih ramai pelanggan, kehadiran geografi yang luas, sumber operasi dan kepakaran industri secara saling melengkapi.
Transaksi berkenaan katanya, dijangka dapat diselesaikan pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027, tertakluk kepada pemenuhan syarat terdahulu dalam SPA. - DagangNews.com






