hamden24/09/2026 - 15:14 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept – Pembayaran dividen kepada sebahagian pemegang saham Zetrix AI Bhd tertangguh susulan perkembangan terkini tindakan undang-undang membabitkan pemegang saham utama syarikat dan pendaftar sahamnya.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Zetrix AI berkata dua penama telah dibenarkan untuk campur tangan dalam tindakan undang-undang berkenaan, dengan pendengaran ditetapkan pada 11 November 2026.
Kes itu berkaitan dividen akhir satu peringkat sebanyak 2.89 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 serta pelan pelaburan semula dividen yang terpakai ke atas keseluruhan dividen tersebut.
Zetrix AI berkata injunksi interim masih berkuat kuasa, manakala penghakiman persetujuan yang diarahkan lembaga pengarah kepada pendaftar saham untuk dimeterai dengan pemegang saham utama telah ditangguhkan susulan campur tangan tersebut.
“Perkembangan terkini kes undang-undang itu telah menyebabkan ketidakpadanan pengiraan dalam akaun dividen yang ditetapkan, mengakibatkan kelewatan pengiraan oleh syarikat dalam pembayaran dividen kepada pemegang saham,” katanya.
Menurut syarikat itu, pembayaran kepada pemegang saham yang terjejas akan dibuat sebaik sahaja kes undang-undang berkenaan diselesaikan sepenuhnya.
Bagaimanapun, pembayaran dividen kepada pemegang saham yang tidak terjejas sedang dilaksanakan dan dijangka selesai pada 28 September 2026. - DagangNews.com





