Tuanku Muhriz Kekal Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Sah – DKU

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 9:59 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Tuanku Muhriz Kekal Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Sah – DKU

SEREMBAN, 17 Sept (Bernama) — Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) hari ini sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang di-Pertua DKU.

Setiausaha DKU Raja Norazli Raja Nordin dalam kenyataan hari ini berkata tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah.

Beliau berkata berdasarkan Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS 1959) persoalan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, perletakan dan pemecatan jawatan Yang Dipertuan Besar dan Undang, terletak dalam bidang kuasa Dewan berkenaan.

Perkara XVI (3) UUTKNS 1959 pula memperuntukkan bahawa nasihat Dewan mengenai persoalan berkenaan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Sehubungan itu, beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi berkenaan atau kedudukan Yang Dipertuan Besar.

Merujuk dokumen “Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil. 6 Tahun 2026” bertarikh 16 Sept 2026, Raja Norazli berkata sebarang keputusan untuk mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz, mengiktiraf pemilihan Yang Dipertuan Besar baharu serta melaksanakannya serta-merta adalah di luar bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan bertentangan dengan ketetapan DKU.

“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan,” katanya.

Raja Norazli berkata DKU turut mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim pada Selasa bahawa Menteri Besar tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar.

Beliau berkata pendirian bahawa kesahan serta kesan proklamasi perlu ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk melalui penentuan kehakiman, adalah selaras dengan UUTKNS 1959 dan ketetapan Dewan.

DKU turut menegaskan semula ketetapannya bahawa Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah cacat sejak awal dan tiada siasatan menurut Perkara X (1) UUTKNS 1959 pernah dilaksanakan.

Raja Norazli berkata tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi itu tidak memegang jawatan Undang pada tarikh berkenaan, selain fungsi di bawah Perkara X (2) UUTKNS 1959 telah dilaksanakan sehingga proklamasi itu luput dan terbatal.

Beliau berkata MMK tidak boleh memulihkan kecacatan itu, manakala sebarang proklamasi untuk memilih Yang Dipertuan Besar baharu yang bersandarkan asas sama juga tidak sah dan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

Dalam pada itu, DKU mengambil maklum perkara berkenaan sedang dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban dan terdapat perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa.

“Dewan menyeru semua pihak supaya menghormati proses mahkamah dan menahan diri daripada mengambil apa-apa langkah yang boleh memintas atau mengganggu proses tersebut,” katanya

Raja Norazli berkata institusi adat Negeri Sembilan termasuk institusi Yang Dipertuan Besar dan institusi Undang bukan milik mana-mana parti atau individu, sebaliknya amanah bagi semua anak buah dan waris.

Sehubungan itu, DKU menyeru semua pihak menjunjung UUTKNS 1959, menghormati bidang kuasa dan ketetapan Dewan serta menyelesaikan sebarang pertikaian menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.

The post Tuanku Muhriz Kekal Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Sah – DKU appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved