KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dijangka pulang dari perjalanan luar negara ke Negeri Sembilan malam ini bagi melihat sendiri perkembangan dan mencari penyelesaian terhadap kemelut yang sedang berlaku di negeri berkenaan.
Perkara terbabit disahkan Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.
Menurutnya, Tuanku Muhriz mahu menyelesaikan kemelut berkenaan dengan baik serta mengikut undang-undang dan saluran yang sewajarnya.
"Tuanku Muhriz, tiada apa-apa berlaku. Kebawah Duli balik pada malam ini 9.50 malam. Insya-ALLAH.
"Baginda balik untuk melihat dan ingin menyelesaikan masalah ini kerana kita jelas dan tahu apa yang dimaklumkan oleh pihak DKU (Dewan Keadilan Undang)," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Khamis.
**media[3650831]**
Menurutnya, Tuanku Muhriz merupakan seorang yang sangat rapat dan berjiwa rakyat, sekali gus Baginda memang ingin menyelesaikan kemelut ini dengan baik dan mengikut undang-undang yang ada.
Dalam pada itu, Megat D Shahriman menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didakwa melakukan tindakan tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan polemik membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
ARTIKEL BERKAITAN: Exco Negeri Sembilan umum Tuanku Muhriz diturunkan takhta, iktiraf Tuanku Nadzaruddin
Tindakan Exco Negeri Sembilan umum penurunan takhta Tuanku Muhriz perbuatan derhaka - Aminuddin
Exco Kerajaan Negeri Sembilan tidak boleh atasi UUTKNS - Undang Luak Rembau
[KRONOLOGI] Kemelut takhta Negeri Sembilan
Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati undang-undang dan proses yang sedang berjalan, selain mengelak daripada melakukan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian serta institusi diraja Negeri Sembilan.
"Ini pendapat saya. Saya rasa semua orang boleh memberikan pendapat masing-masing. Tetapi saya rasa apa yang dilakukan ini adalah seperti menegakkan benang yang basah.
"Saya percaya apa yang dilakukan oleh Exco, apa sahaja yang mereka lakukan hari ini, mereka tidak menjalankan tugas yang sepatutnya," katanya.
**media[3650810]**
Menurutnya, tindakan berkenaan merupakan perkara serius sekiranya benar berlaku pelanggaran undang-undang.
"Saya rasa mereka telah melakukan satu kesalahan yang besar dan saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan, menangkap atau memasukkan ke penjara mana-mana pihak yang terlibat, mengikut apa yang diperuntukkan undang-undang," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya menghormati proses undang-undang dan menyerahkan perkara berkenaan untuk diselesaikan melalui saluran yang sewajarnya.






