Tubuh agensi kawal selia pantau institusi tabungan rakyat - Radzi

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 7:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tubuh agensi kawal selia pantau institusi tabungan rakyat - Radzi
Radzi

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran mewujudkan sebuah agensi kawal selia khusus bagi memantau institusi yang menguruskan dana dan simpanan rakyat, susulan kelemahan tadbir urus didedahkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Datuk Dr Radzi Jidin (PN - Putrajaya) berkata, kerangka kawal selia yang menyeluruh itu tidak seharusnya terhad kepada TH sahaja, sebaliknya turut melibatkan institusi seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, Malaysia ketika ini tidak mempunyai satu kerangka kawal selia yang jelas dan menyeluruh untuk Institusi Kewangan Bukan Bank (NBFI).

"Sebaliknya, setiap institusi mempunyai akta masing-masing dan berada di bawah seliaan institusi dan kementerian berbeza.

"Kita perlu ingat, kegagalan mana-mana institusi ini bukan sahaja memberi kesan kepada pendeposit, tetapi juga kepada kerajaan dan negara," katanya ketika membahaskan Laporan RCI TH di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu beliau menegaskan, kegagalan TH sebelum ini menyebabkan kerajaan perlu menanggung sukuk berjumlah RM27.8 bilion bagi menyelamatkan institusi berkenaan.

Memandangkan sebahagian besar pelaburan institusi terbabit adalah dalam negara, beliau menegaskan, sebarang kegagalan juga berpotensi memberi kesan besar terhadap ekonomi negara.

"Cadangan RCI supaya pengurusan dana Tabung Haji diselia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) tidak mencukupi. Perlu pendekatan menyeluruh.

"Apa akan berlaku sekiranya selepas ini berlaku kerosakan kepada LTAT atau KWAP sebagai contoh? Nak buat satu lagi RCI?” soalnya.

Radzi berkata, kerajaan boleh mengambil model Australia Prudential Regulation Authority (APRA) yang berfungsi sebagai badan kawal selia bagi institusi terbabit.

Beliau turut merujuk pandangan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim yang menyarankan kewujudan sebuah 'super-regulatory body' bagi mengawal selia institusi berkenaan.

"Saya cadang agar kerajaan duduk bersama Tan Sri Muhammad Ibrahim dan pakar-pakar kawal selia untuk membincangkan perkara ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved