“Tugasan Paling Berat Pagi Ini” – Pembaca Radio Bernama Sebak Baca Berita Pemergian Ketua Sendiri

15 Jan 2026 • 8:28 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Perkongsian menyentuh hati seorang pembaca radio BERNAMA di Threads mengundang rasa sebak ramai apabila beliau terpaksa membaca berita pemergian ketua sendiri ketika bertugas di konti, pagi ini.

Menerusi hantaran dikongsikan oleh @raifazulkifli, beliau meluahkan perasaan pilu apabila tugasan pagi itu menjadi antara yang paling berat sepanjang kerjayanya.

“Tugasan paling berat pagi ini. Baca berita pemergian bos sendiri.

Jam 8 pagi semalam, saya beri bos perancangan yang diminta. Bos kata nak panggil mesyuarat semula hari ini. Tapi nyata Allah lebih menyayangi bos.

Semoga segala urusan bos dipermudahkan. Salam takziah buat keluarga bos. Berehatlah bos. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.

Tokoh Awal Bernama Radio, Banyak Jasa Dalam Dunia Penyiaran

Sementara itu, media melaporkan Ketua Radio Bernama, Azlan Idris, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi ini. Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh ahli keluarganya.

Allahyarham Azlan, 57, merupakan antara individu terawal yang menyertai Bernama Radio sejak penubuhannya pada tahun 2007. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju operasi stesen radio berkenaan, termasuk melakar strategi bagi memastikan kelangsungan serta daya saing Bernama Radio ketika industri penyiaran negara berdepan cabaran besar akibat ledakan teknologi digital.

Allahyarham mula dilantik sebagai penerbit dan peneraju secara sambilan di Bernama Radio pada 27 Ogos 2007, sebelum terus menyumbang bakti dalam membangunkan jenama radio berkenaan sehingga dikenali hari ini.

Pernah Berkhidmat Di TV3 & NTV7, Tinggalkan Isteri Dan Empat Anak

Selain itu, Allahyarham juga pernah berkhidmat di stesen televisyen TV3 dan NTV7, sekali gus membuktikan pengalaman luas beliau dalam industri penyiaran tanah air.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Wan Syahrina Wan Ab Rahman, yang merupakan Pengurus Saluran dan Kandungan Bernama TV, serta empat orang anak.

Pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai oleh keluarga, malah seluruh warga Bernama dan rakan industri yang mengenali dedikasi serta kepimpinan beliau.

Al-Fatihah dan salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. – The Malaysian Update

The post “Tugasan Paling Berat Pagi Ini” – Pembaca Radio Bernama Sebak Baca Berita Pemergian Ketua Sendiri appeared first on The Malaysian Update.