Tugasan rasmi bukan lesen langgar lampu merah

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 1:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tugasan rasmi bukan lesen langgar lampu merah

PETALING JAYA – Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) menegaskan, keselamatan awam mesti kekal menjadi keutamaan setiap kali kenderaan rasmi berada di jalan raya, termasuk ketika menjalankan tugasan penguatkuasaan atau operasi.

Pengasas PPKJR, Jamil Manan Supri berkata, sebarang tindakan berbahaya seperti melanggar lampu merah tidak seharusnya dinormalisasikan atas alasan sedang menjalankan tugas rasmi.

Peringatan itu susulan insiden membabitkan sebuah kenderaan Jabatan Imigresen yang dipercayai melanggar lampu merah sehingga mengakibatkan tiga individu maut.

“Sekiranya siasatan mengesahkan pelanggaran lampu merah dan kecuaian pemanduan menjadi antara faktor kepada tragedi tersebut, tindakan sewajarnya hendaklah diambil dengan segera berdasarkan undang-undang dan bukti yang sah.

“Melanggar lampu merah bukan kesalahan lalu lintas kecil yang boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PPKJR turut menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan memperkukuh latihan pemanduan defensif, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta pemantauan tingkah laku pemandu bagi mencegah kesalahan berisiko tinggi.

“Memastikan pemandu memahami bahawa keselamatan awam merupakan sebahagian daripada tanggungjawab profesional mereka, bukan semata-mata tanggungjawab peribadi.

“Pematuhan undang-undang jalan raya mesti menjadi budaya yang dikongsi oleh setiap pengguna jalan raya, tanpa mengira status, jawatan atau jenis kenderaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Tugasan rasmi bukan lesen langgar lampu merah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved