
KUALA LUMPUR - Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang merupakan pejalan kaki maut dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia, selepas kenderaan berkenaan melanggar lampu isyarat merah di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.
Semua mangsa yang maut dalam nahas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction itu dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya, masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.m
Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Isteri lelaki berkenaan, 55, turut cedera di kepala, tangan serta kedua-dua kakinya dan dikejarkan ke Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, nahas melibatkan sebuah lori Isuzu yang ketika itu tidak membawa penumpang, dua kereta serta empat pejalan kaki.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil tahanan, susulan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin.
“Lori itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah dengan lampu beacon dan siren diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama jelasnya, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak lurus melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya menunjukkan warna hijau, sebelum berlaku pelanggaran di tengah persimpangan.
Mohd Zamzuri berkata, lori berkenaan kemudian hilang kawalan dan terbabas, sebelum melanggar empat pejalan kaki daripada keluarga terbabit serta sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dan sedang berhenti di persimpangan berkenaan.
Katanya, ketiga-tiga pemandu yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan.
“Pemandu lori dan pemandu kereta masing-masing berusia 43 dan 50 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Ujian pernafasan bagi mengesan kandungan alkohol serta saringan awal air kencing terhadap kedua-dua pemandu mendapati keputusan negatif,” katanya.
Menurutnya, polis kini menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian, termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengesan saksi bebas serta membawa kenderaan yang terbabit untuk pemeriksaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Getaran, 19 Ogos 2026






