“Tujuannya Nak Bantu Orang” – Pakar Hartanah Gesa Individu Tak Beli Rumah Kos Rendah Untuk Pelaburan [Video]

14 Oct 2025 • 5:56 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Perumahan kos rendah seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dibina oleh kerajaan demi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah atau kategori pendapatan B40.

Kebiasaannya perumahan kos rendah di Malaysia hanya boleh dibeli seorang warganegara.

Namun tidak dapat disangkalkan lagi bahawa terdapat sesetengah individu tidak bertanggungjawab yang menyalahguna inisiatif ini demi meningkatkan pelaburan hartanah.

Pakar Hartanah Gesa Pelabur Tidak Beli Rumah Kos Rendah

Pun begitu, seorang Key Opinion Leader (KOL) dalam bidang hartanah Iherng, berpendapat bahawa rumah kos rendah tidak sepatutnya menjadi sasaran bagi tujuan pelaburan.

Dia sebelum itu menerima soalan yang dikemukakan oleh salah seorang pengikutnya tentang memilih had tempoh pinjaman perumahan yang sesuai bagi subsale flat kos rendah bernilai RM200,000.

Dalam menjawab soalan tersebut, Iherng secara prinsipnya menegaskan orang ramai agar menjadi ‘kapitalis’ yang bertanggungjawab

Oleh yang demikian, dia yang berpendapat bahawa rumah kos rendah diwujudkan bagi mereka yang memerlukan, tidak menggalakkan sesiapa pun untuk membelinya sebagai tujuan pelaburan.

Sebaliknya dia berpendapat rumah mampu milik seperti RumaWIP atau Rumah Selangorku masih sesuai dibeli bagi tujuan pelaburan.

“Saya tahu banyak rumah kos rendah yang disewakan semula kepada pekerja asing dengan pulangan pelaburan (ROI) yang sangat sihat. Tapi itu mereka punya pasal.

“Sebagai seorang kapitalis bertanggungjawab saya tidak akan berbuat sedemikian,” jelasnya.

image is not available
Gambar sekadar hiasan. (Sumber: FB Rumah Sewa Johor Bahru)

Pinjaman Jangka Pendek Sesuai Untuk Rumah Kos Rendah

Dalam masa sama, Iherng turut menjawab dari segi teknikal iaitu sama ada untuk mengambil pinjaman jangka masa panjang atau yang lebih pendek bagi pelaburan rumah kos rendah.

Katanya memandangkan pulangan pelaburan itu adalah sangat bagus, pemilik rumah secara teknikalnya akan menerima keuntungan menyamai kos (break even) dalam tempoh 8 ke 10 tahun.

Dia berkata, ini bererti pinjaman jangka masa pendek juga berkesan untuk pelaburan bagi perumahan kos rendah, menjadikannya tarikan dalam kalangan para pelabur.

“Bagaimanapun jika anda melihat pada harga subsale dan kenaikan harga modal, saya rasa terdapat pilihan lain yang lebih bagus di pasaran terbuka,” katanya.

Iherng juga berpendapat bahawa seseorang sudah terlebih layak jika terfikir untuk membeli perumahan kos rendah bagi tujuan pelaburan.

Rumah Mampu Milik Bukan Untuk Pelaburan, Tetapi Bantu Golongan Kurang Mampu

Di samping itu, Iherng turut meluahkan rasa syukur kerana kerajaan membina perumahan mampu milik dan kos rendah bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Walaupun ROI yang bakal diterima adalah sangat bagus memandangkan sektor perumahan tersebut disubsidi oleh kerajaan, namun dia menegaskan rumah kos rendah bukan dibina bagi tujuan pelaburan.

“Tujuannya adalah bagi membantu seramai mungkin orang untuk memulakan kehidupan mereka dengan baik di bandar, supaya mereka dapat menyumbang kepada negara dan ekonomi tempatan,” jelasnya.

Tambah Iherng lagi, mengambil peluang itu daripada golongan berpendapatan rendah akan membuatkan mereka terpaksa menyewa pada harga pasaran semasa.

“Saya cuba menggalakkan orang ramai untuk menjadi kapitalis bertanggungjawab. Kalau tidak, sebanyak mana pun (perumahan kos rendah) yang dibina oleh kerajaan masih tidak mencukupi,” katanya.