
KUALA LUMPUR: Pelakon, Juliana Farhana Marin, mengesahkan akan memfailkan perceraian terhadap suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz, selepas mereka berdua tidak lagi tinggal bersama hampir setahun.
Juliana Farhana Marin, 32, berkata, dia sudah tidak bertemu dengan suaminya selama tujuh bulan dan kini hanya menunggu urusan mahkamah selesai.
“Kami sudah tidak berjumpa selama tujuh bulan dan berpisah hampir setahun. Saya memang akan memfailkan perceraian.
“Ia adalah keputusan bersama dan kami berdua pun profesional. Dulu pun memang sudah membawa haluan masing-masing dan cuma menunggu proses itu sahaja,” katanya.
Juliana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Astro 30 Thank You Malaysia di TGV, Pavillion, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kelewatan pendaftaran kes perceraian tersebut, Juliana memberitahu ia berpunca daripada urusan dokumen yang banyak dan kesibukannya dengan jadual penggambaran.
Katanya, proses berkenaan mengambil masa kerana terdapat beberapa dokumen yang tiada dalam simpanannya dan perlu dibuat baharu.
“Tarikh mahkamah saya perlu tunggu dokumen untuk siap. Saya rasa ambil masa sedikit. Saya perlu pergi buat dokumen baharu sebab ada sesetengah dokumen tiada dengan saya.
“Saya harap benda ini selesai secepat mungkin untuk elakkan salah faham. Secara teknikal dia masih suami tetapi juga bekas suami, jadi kami akan bercerai secara muktamad. Harapnya dia akan bagi kerjasama,” katanya.
Menjelaskan mengenai punca masalah perkahwinannya, pelakon itu enggan mengulas lanjut secara terperinci demi mengelakkan timbulnya masalah atau pertikaian yang tidak perlu.
“Sesuatu telah berlaku dalam kehidupan peribadi yang saya rasa tak adil untuk dikongsikan secara terperinci. Saya tidak mahu cerita apa-apa sebab ia akan membawa kepada masalah atau pertikaian yang tak perlu.
“Saya pun banyak dengar kawan-kawan lalui benda ini. Tapi, saya tak sangka saya perlu lalui benda ini. Saya terima qada’ dan qadar. Saya ikhlas,” katanya.
Terdahulu, spekulasi masalah rumah tangga Hafiz dan Julia mula diperkatakan ramai selepas kedua-duanya dilihat tidak lagi beraya bersama.
Mereka juga memadam foto bersama dalam Instagram dan tidak lagi mengikuti akaun satu sama lain.
The post Tujuh bulan kami tidak berjumpa, bercerai adalah keputusan muktamad – Juliana Farhana Marin appeared first on Utusan Malaysia.






