PUTRAJAYA - Seorang tukang cat didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan membantu menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang tanpa lesen, tahun lalu.
Neo Kok Wah, 48, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Ezrene Zakariah.
Lelaki itu akan dipenjara selama 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membantu menjalankan aktiviti memberi pinjaman wang tanpa lesen dengan memiliki dan menyediakan kad serta risalah pinjaman wang di Presint 11, di sini pada 26 Oktober 2025.
**media[3530174]**
Pertuduhan dibuat mengikut Sesyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dibaca bersama seksyen 34 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 26 Oktober 2025, seorang mangsa mendapati terdapat cat merah di dinding rumah, lantai dan keretanya termasuk nota kutipan hutang pada kenderaan itu.
Bimbang akan keselamatan, mangsa melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.




