Dari tukang cuci, kini bergelar peguam di New Zealand

15 Sep 2026 • 3:54 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dari tukang cuci, kini bergelar peguam di New Zealand

PETALING JAYA: Pernah dipandang sebelah mata hanya kerana rupa dan latar belakang, siapa sangka wanita daripada keluarga sederhana ini kini berjaya mengangkat sumpah sebagai peguam di Mahkamah Tinggi New Zealand.

Kejayaan Nur Zahirah Khairudin, 25, mendapat perhatian di media sosial selepas kisah kehidupannya dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, @Akramzul baru-baru ini.

Lebih membanggakan, anak kedua daripada tujuh beradik itu turut memiliki ijazah berkembar dalam bidang Undang-Undang dan Sastera dengan pengkhususan Bahasa dan Kebudayaan Jepun serta Linguistik daripada University of Canterbury, Christchurch.

Menurut Akramzul, Nur Zahirah dibesarkan dalam keluarga Melayu sederhana di New Zealand dengan bapanya bekerja sebagai posmen, manakala ibunya mengambil upah menjahit bagi membantu keluarga.

“Pada hujung minggu, Nur Zahirah membantu keluarganya menjual kuih pada sebelah pagi sebelum bekerja sambilan sebagai tukang cuci di sebuah motel pada tengah hari.

“Meskipun perlu membahagikan masa antara pelajaran dan pekerjaan, keadaan itu tidak menghalangnya untuk menamatkan pengajian serta memperoleh kelayakan dalam bidang perundangan,” katanya dalam hantaran di aplikasi Threads, hari ini.

Menurut Akramzul, Nur Zahirah pernah dipandang rendah oleh seorang individu dalam sebuah majlis kerana penampilan dan kedudukannya ketika itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengalaman tersebut tidak mematahkan semangat wanita berkenaan untuk terus bekerja keras bagi mengubah nasib keluarganya.

“Kadang-kadang kita melihat seseorang dan menganggap dia biasa-biasa sahaja. Tiada keluarga ternama dan tiada kisah keistimewaan yang hebat. Yang ada cuma ilmu, usaha, disiplin, doa dan pengorbanan ibu bapa.

“Nur Zahirah sedang membina masa depan, membawa nama keluarga dan paling penting, membuktikan kepada enam adik-beradiknya bahawa anak daripada keluarga biasa juga boleh bermimpi besar,” katanya. – UTUSAN

The post Dari tukang cuci, kini bergelar peguam di New Zealand appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved