KUALA LUMPUR - Peguam kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa supaya pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perbicaraan kes Program Jana Wibawa dikenakan tindakan menghina mahkamah.
Semasa prosiding, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Presiden Bersatu berusia 79 tahun itu berkata, permohonan berkenaan dibuat selepas seorang pegawai SPRM membuat laporan polis berhubung isu yang ditimbulkan dalam perbicaraan Muhyiddin, iaitu rakaman percakapan ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad dalam kes berlainan.
Katanya, laporan berkenaan kemudian disiarkan media, sekali gus didakwa sebagai percubaan mencemar imejnya selaku salah seorang peguam yang mewakili ahli politik berkenaan.
"Saya mohon tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadap saksi pendakwaan ke-29, Mazery Mohd Zaini kerana didakwa melanggar arahan mahkamah supaya tidak membincangkan butiran perbicaraan di luar prosiding.
"Tindakan saksi membuat laporan polis berhubung dokumen yang dikemukakan pihak pembelaan boleh dianggap sebagai tindakan komital," katanya.
Amer Hamzah berkata, saksi sebelum ini menerima arahan mahkamah supaya tidak berkomunikasi dengan mana-mana pihak ketika masih memberi keterangan.
"Laporan yang mereka buat terhadap saya malah menamakan saya secara peribadi merupakan satu pengisytiharan perang," katanya.
Mendengar perkara itu, Mazery yang kini bertugas sebagai Ketua Cawangan Siasatan B, Bahagian Siasatan SPRM memohon maaf kepada barisan peguam, khususnya Amer Hamzah.
"Saya mohon maaf kepada barisan peguam berhubung isu laporan polis yang dibuat.
"Laporan polis itu dibuat kerana bimbang dokumen berkenaan mungkin keluar daripada pihak pegawai SPRM dan berlaku kebocoran maklumat dalaman.
"Saya bimbang ada kebocoran maklumat dalaman daripada pegawai SPRM, jadi saya perlu melindungi jabatan saya sendiri terhadap integriti pegawai SPRM," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, anggapan bahawa laporan polis itu merupakan satu bentuk intimidasi terhadap pihak pembelaan adalah keterlaluan.
Beliau berkata, Mazery sudah menjelaskan kepada mahkamah tujuan laporan berkenaan dibuat dan turut menyatakan kesediaannya menarik balik laporan sekiranya siasatan mendapati tiada kebocoran daripada SPRM.
"Saksi ini mempunyai tanggungjawab sebagai pegawai penyiasat untuk menjaga integriti SPRM, sambil menyerahkan perkara berkenaan kepada mahkamah," katanya.
Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin kemudian meminta Mazery membuat semakan dengan jabatannya berhubung status laporan polis berkenaan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama hingga keempat, Muhyiddin didakwa sebagai pegawai badan awam, iaitu ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta.
Suapan itu didakwa diperoleh daripada Azman serta empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering bagi manfaat parti berkenaan.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh pula, Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta, antaranya dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti berkenaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin bersambung jam 2.30 petang.





