Polis Buru 2 Wanita Disyaki Curi 2 Gelang Emas Bernilai RM16,000

14 Aug 2026 • 9:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Polis Buru 2 Wanita Disyaki Curi 2 Gelang Emas Bernilai RM16,000

KUALA TERENGGANU - Polis sedang mengesan dua wanita bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan seutas gelang emas bernilai kira-kira RM16,000 dari sebuah kedai emas di Batu 8, Kampung Batu Enam, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10.59 pagi, namun kehilangan gelang berkenaan hanya disedari seorang jurujual kedai emas terbabit ketika membuat pemeriksaan stok pada jam 10.25 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, jurujual itu kemudian membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati dua suspek wanita memasuki premis berkenaan dengan menyamar sebagai pelanggan.

Menurutnya, seorang daripada suspek meminta untuk mencuba beberapa utas gelang emas, namun dipercayai tidak menanggalkan salah satu gelang yang dipakainya ketika mencuba barang kemas berkenaan.

“Sebaliknya, suspek dipercayai menyembunyikan gelang itu menggunakan lengan jubah yang dipakainya.

“Suspek kemudian dilihat sengaja menjatuhkan gelang berkenaan ke lantai sebelum memijaknya dan memasukkannya ke dalam beg tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azli berkata, kedua-dua wanita terbabit kemudiannya meninggalkan kedai emas itu dengan alasan mahu mengambil wang bagi membuat bayaran.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak kembali ke premis berkenaan selepas itu.

Gelang emas yang hilang mempunyai berat 28.01 gram dan dianggarkan bernilai kira-kira RM16,000.

Polis kini sedang mengesan kedua-dua suspek bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Rakaman insiden terbabit boleh dilihat menerusi pautan https://www.facebook.com/reel/1764623248008491/?fs=e&s=TIeQ9V&fs=e&mibextid=wwXIfr - Getaran, 14 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved