Tukar MyKad baharu? Saifuddin nasihat orang ramai jangan serbu JPN 17 Sept ini!

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 4:36 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berpusu-pusu ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar MyKad kepada versi baharu apabila permohonan dibuka mulai 17 September ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penukaran MyKad baharu yang dilengkapi kira-kira 50 ciri keselamatan tambahan itu akan dilaksanakan secara berfasa.

Beliau berkata, MyKad sedia ada masih sah digunakan bagi urusan harian dan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk mendapatkan versi baharu.

“Cuma saya nak nasihatkan supaya tidak berpusu-pusu segera menggantikan (MyKad). Sekarang ini, jumlah MyKad yang telah dikeluarkan adalah 24 juta, purata pengeluaran MyKad sekarang sebulan ialah 180,000 ke 200,000,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan tajaan umrah kepada Nurul Arini Abdullah, 19, dan ibunya, Norini Basir, 62, di sini hari ini.
Image from: Tukar MyKad baharu? Saifuddin nasihat orang ramai jangan serbu JPN 17 Sept ini!

Kredit Foto: BERNAMA

Saifuddin Nasution berkata, penukaran kepada MyKad baharu juga tidak akan menjejaskan transaksi baki atau kelayakan subsidi rakyat yang dipautkan pada dokumen pengenalan diri berkenaan.

“Tidak timbul soal transaksi baki subsidi… rekod itu adalah berdasarkan pada MyKad lama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata JPN mengendalikan antara 13,000 hingga 15,000 kes kegagalan mendaftar kelahiran setiap tahun, angka yang disifatkannya masih tinggi walaupun negara sudah lama mencapai kemerdekaan.

Menurutnya, kegagalan mendaftarkan kelahiran berpunca daripada pelbagai faktor termasuk kekangan maklumat, masalah sosial dan isu kekeluargaan yang akhirnya boleh menjejaskan masa depan anak-anak.

“Hakikatnya kita masih ada masalah dalam kalangan masyarakat yang tiada pengetahuan asas bahawa setiap kelahiran itu mesti didaftarkan dan ia masih lagi dianggap benda biasa.
“JPN mengendalikan antara 13,000 hingga 15,000 kes seperti ini yang tidak mendaftar kelahiran setahun. Jumlah ini dianggap tinggi ketika negara sudah lama merdeka,”ujar beliau.
Image from: Tukar MyKad baharu? Saifuddin nasihat orang ramai jangan serbu JPN 17 Sept ini!

Kredit Foto: BERNAMA

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa, penjaga dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kegagalan mendaftar kelahiran supaya segera tampil ke pejabat JPN bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, pelbagai alasan diterima daripada ibu bapa atau penjaga yang gagal mendaftarkan kelahiran anak, termasuk masalah kewangan dan kekangan keluarga, sedangkan proses pendaftaran kelahiran adalah percuma.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved