Tular dakwaan ayam tidak disembelih, Radzi Jidin gesa Jakim siasat status halal

LocalFood
20 Oct 2026 • 10:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tular dakwaan ayam tidak disembelih, Radzi Jidin gesa Jakim siasat status halal
Tangkap layar video 'live' di TikTok yang tular berhubung dakwaan menjual ayam tanpa melalui proses sembelihan sepatutnya.

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa membuat siasatan segera mengenai kaedah penyembelihan, status halal serta rangkaian pengedaran ayam yang diproses di sebuah premis di ibu negara.

Ia susulan tular video berkaitan isu kebersihan dan cara ayam itu diproses di premis berkenaan.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, siasatan menyeluruh perlu dibuat bagi memastikan proses penyembelihan ayam di premis tersebut benar-benar mematuhi hukum syarak, memiliki status halal dan lokasi ia dibekalkan untuk dijual.

"Siasatan bersepadu bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga perlu meliputi aspek kebersihan, pematuhan undang-undang, kemungkinan penyalahgunaan logo halal serta status permit pekerja asing.

"Jika terbukti berlaku pelanggaran, tindakan tegas mesti diambil.

"Isu halal dan keselamatan makanan tidak boleh dipandang ringan!" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Bagaimanapun, Mohd Radzi tidak menyebut lokasi premis secara spesifik.

Dalam masa sama, beliau mengemukakan aduan rasmi kepada Pejabat Ketua Pengarah Jakim bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Mohd Radzi turut memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk perhatian lanjut.

Baru-baru ini, tular tangkap layar rakaman video penstriman langsung di TikTok berhubung dakwaan seorang pembekal ayam di Kuala Lumpur tidak menyembelih ayam tersebut, sebaliknya mencampakkannya ke dalam air panas hidup-hidup.

Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada Jakim berhubung perkara berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved