
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular beberapa dakwaan mengatakan kereta pengguna rosak selepas mengisi minyak petrol RON95 di beberapa buat stesen minyak sekitar Pulau Pinang.
Antara kerosakan yang didakwa berlaku adalah kenderaan tidak dapat dihidupkan selepas isi minyak tangki penuh (full tank). Dakwanya lagi selepas membuat pemeriksaan di bengkel, mekanik mendapati terdapat air di dalam minyak yang diisi.
View on Threads
Tiada Kesan Kehadiran Air Dalam Tangki Simpanan RON95 Di Sebuah Stesen Minyak Kawasan Batu Kawan – KPDN Pulau Pinang
Ambil maklum aduan ramai, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah pun membuat pemeriksaan dan mendapati bahawa tiada kesan kehadiran air atau pencemaran dalam tangki simpanan RON95 di sebuah stesen minyak di kawasan Batu Kawan di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Menurut Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan, bagi mengenal pasti punca kejadian, pemeriksaan dan penelitian lanjut telah dilaksanakan bersama wakil syarikat minyak serta pengusaha stesen terbabit termasuklah mengenal pasti sama ada terdapat cecair dalam tangki minyak atau sistem pengeluaran bahan api.
“Pasukan pemeriksaan membuat semakan menyeluruh terhadap rekod Automatic Tank Gauge (ATG) bagi tangki RON95 termasuk bacaan semasa pemeriksaan dan rekod bagi tempoh tiga hari terdahulu.
“Hasil semakan mendapati tiada bacaan yang menunjukkan kehadiran air dalam tangki sepanjang tempoh yang diperiksa,” katanya, lapor Sinar Harian.
Petunjuk Kehadiran Air Dalam Tangki Negatif – KPDN
Tambahnya, pemeriksaan fizikal di kawasan pam dan bahagian tank sump turut dijalankan. Namun begitu, pihak KPDN tidak menemukan sebarang pengumpulan air.
“Pemeriksaan secara manual melalui proses dipping di kedua-dua tangki RON95 turut dilaksanakan menggunakan Water Finding Paste (WFP) yang disapukan pada kayu pengukur sebelum dimasukkan ke dalam tangki.
“Sekiranya terdapat air dalam tangki, sapuan WFP akan menunjukkan perubahan warna sebagai petunjuk kehadiran air,” jelasnya.
Petrol Kelihatan Jernih, Tiada Pencemaran Dikesan Melalui Pemerhatian Mata Kasar – KPDN
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa petrol juga kelihatan jernih ketika bahan api mengalir keluar daripada muncung pam.
“Pemeriksaan secara visual terhadap bahan api yang dikeluarkan daripada semua muncung pam juga mendapati petrol berkenaan kelihatan jernih dan tiada pencemaran dapat dikesan melalui pemerhatian mata kasar,” ujarnya lagi.
Sementara itu, KPDN Pulau Pinang, wakil syarikat minyak serta pengusaha stesen akan terus bekerjasama dalam mengambil tindakan susulan yang bersesuaian bagi memastikan isu itu ditangani secara menyeluruh.
“Sekiranya terdapat maklumat atau aduan daripada pengguna yang mempunyai kaitan dengan isu berkenaan, KPDN bersedia mendapatkan maklumat lanjut serta menjalankan pemeriksaan atau siasatan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.
Hubungi KPDN Jika Ada Maklumat Lanjut Mengenai Isu Petrol Di Stesen Minyak
Dalam masa sama, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang kesimpulan awal berdasarkan maklumat yang tular di media sosial.
Jika mempunyai sebarang maklumat atau aduan, anda boleh hubungi dan salurkannya di sini:
- WhatsApp di talian 019-848 8000
- Portal e-Aduan KPDN
- Call Centre 1-800-886-800
- Aplikasi telefon pintar EzADU KPDN






