Tular dakwaan Kim Jong-un meninggal dunia, Korea Utara tampil gambar terbaharu

WorldPolitics
21 Oct 2026 • 10:07 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un menjadi perhatian susulan dakwaan kematiannya yang tular di media sosial.

Dakwaan mengenai kematian pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, akibat pendarahan otak mencetuskan perhatian di media sosial antarabangsa, namun sehingga kini tiada bukti sahih yang mengesahkan perkara tersebut.

Menurut laporan agensi berita Yonhap, khabar angin itu mula tersebar selepas seorang pembangkang politik China yang menetap di Amerika Syarikat mendakwa Kim mengalami pendarahan otak serius sebelum tidak sedarkan diri.

Xie Wanjun itu menerusi hantaran di platform X mendakwa pemimpin Korea Utara berkenaan telah dibawa ke Hospital Peking Union Medical College di Beijing, China, untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa Kim meninggal dunia selepas menerima rawatan dan mayatnya dibawa pulang secara rahsia ke Korea Utara, manakala berita kematiannya sengaja disembunyikan pihak berkuasa negara itu.

Dakwaan berkenaan kemudiannya mendapat perhatian beberapa media antarabangsa termasuk The Sun dari Britain, New York Post dari Amerika Syarikat dan The Economic Times dari India.

Dalam perkembangan berkaitan, media kerajaan Korea Utara menerbitkan beberapa gambar terbaharu yang menunjukkan Kim menghadiri pameran pakaian dan kasut di Pyongyang pada Isnin lalu.

Menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), Kim dilaporkan melawat pameran berkenaan pada 19 Oktober bersama anak perempuannya, Kim Ju-ae, serta beberapa pegawai kanan kerajaan.

Gambar yang disiarkan pada Selasa itu menunjukkan beliau meninjau barangan yang dipamerkan dan berinteraksi dengan pegawai yang hadir.

Laporan Anadolu Agency turut menyebut bahawa penyiaran gambar berkenaan dibuat ketika dakwaan kematian Kim semakin meluas di media sosial.

Bukan kali pertama spekulasi

Walaupun pihak berkuasa Korea Utara tidak memberikan sebarang kenyataan rasmi secara langsung mengenai khabar angin tersebut, kemunculan gambar terbaharu itu dilihat sebagai perkembangan yang bercanggah dengan dakwaan kematiannya.

Sementara itu, pegawai diplomatik dan keselamatan Korea Selatan dilaporkan memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang maklumat yang menyokong dakwaan berkenaan.

Ini bukan kali pertama spekulasi mengenai tahap kesihatan dan kematian Kim tersebar di media antarabangsa.

Pada April 2020, khabar angin hampir sama pernah tercetus selepas beliau tidak menghadiri satu acara penting negara, sebelum muncul semula dalam aktiviti rasmi.

The post Tular dakwaan Kim Jong-un meninggal dunia, Korea Utara tampil gambar terbaharu appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved