
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui, masjid atau surau yang ada di Malaysia bahkan di negara-negara lain juga bukanlah sekadar tempat menunaikan ibadah sahaja, malah digunakan sebagai pusat masyarakat.
Terdapat pelbagai program yang boleh dianjurkan di masjid selagi mana ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Bahkan, orang ramai terutamanya generasi muda juga digalakkan untuk kerap menyertai program di rumah ibadah agar secara tidak langsung dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Wanita tak setuju ruang masjid jadi tempat pertandingan Mobile Legend
Bagaimanapun, baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang wanita dikenali sebagai Nabilah Hassan tidak bersetuju apabila ruangan masjid di sebuah Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi tempat pertandingan permainan dalam talian iaitu Mobile Legend: Bang Bang (MLBB).
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, dia berkata, pertandingan anjuran sebuah kolej di UPM itu tidak sepatutnya dilakukan di rumah Allah.
Difahamkan, hadiah terkumpul bagi pertandingan itu adalah RM1,500 beserta 10,000 diamonds iaitu mata wang di dalam MLBB.
Penuntut didakwa main game tanpa hirau orang sekeliing
Wanita itu turut mendakwa penuntut-penuntut yang sedang bermain MLBB juga tidak menghiraukan orang di sekeliling apatah lagi pada waktu itu terdapat dua jenazah yang sedang bersedia untuk disolatkan di dalam masjid terbabit.
“Admin ‘approach’ polis bantuan, diorang pun tak okay. Admin minta nak jumpa penganjur, tapi akhir sekali polis dah selesaikan.
“Sungguh memalukan, ini ke hasil graduan menara gading ‘research uni and top uni’ yang dibanggakan Malaysia,” katanya.
Dakwa riak wajah penganjur program seakan tidak bersalah selepas ditegur
Nabilah turut mendakwa riak wajah pihak penganjur selepas ditegur berhubung perkara itu juga seakan tidak berasa bersalah.
“Saya sangat bimbang dengan generasi muda kita, jemput semua tularkan sebab sedihnya orang zaman sekarang lagi takut viral daripada takut Allah. Tak tahu macam mana program macam ini boleh dapat kelulusan,” katanya lagi.
@_nabilahhassan Masjid UPM jadi tempat karnival Mobile Legend?! THIS IS NOT OKAY! Terkejut sangat bila masuk masjid, tiba tiba ada satu ruang, penuh students main game tanpa hira orang keliling. At the same time 2 jenazah tengah bersedia untuk solat jenazah di Masjid! Admin approach polis bantuan. Diorang pun tak ok. Admin minta nak jumpa organiser. Tapi last sekali polis dah settlekan. Sungguh memalukan! Ini ke hasil graduan menara gading research uni and top uni yang di banggakan Malaysia! Langsung takde sensitiviti! Main game dah satu hal. Dalam masjid lagi satu hal. Muka organiser lepas kena tegur langsung takde rasa bersalah. I am super worried bout our younger generations! Jemput semua viralkan sebab sadly orang zaman sekarang lagi takut viral dari takut Allah 😡 Tak tahu macam mana program macam ni boleh dapat kelulusan?!
♬ original sound – Nabilah Hassan 🇲🇾🇵🇸
Isu pertandingan MLBB di ruang solat masjid, MPP UPM beri penjelasan
Terbaharu, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (MPP UPM) menerusi satu kenyataan telah tampil menyatakan apa yang berlaku hanyalah salah faham.
Menurut MPP UPM, berdasarkan maklumat rasmi yang diterima, pihak penganjur program telah dimaklumkan bahawa penggunaan ruang solat adalah tidak dibenarkan dan hanya Bilik Smart Classrom sahaja boleh digunakan.
“Malangnya, disebabkan kekangan ruang semasa aktiviti berlangsung, tempat aktiviti telah ditukarkan ke kawasan luar bilik tersebut,” tulisnya.
Tiada jenazah ketika program berlangsung – MPP UPM
Mereka turut menegaskan bahawa tiada sebarang jenazah berada di kawasan itu sewaktu aktiviti dijalankan.
“Jenazah yang dikatakan itu sebenarnya masih belum sampai ke masjid dan ketika jenazah tersebut tiba, aktiviti yang berlangsung di ruangan berkenaan dihentikan sepenuhnya serta-merta,” tulisnya lagi.
MPP UPM dalam masa menzahirkan rasa kesal dengan tuduhan yang dilemparkan itu yang menurutnya telah menimbulkan fitnah terhadap pihak masjid serta Pusat Islam UPM.
Pihak MPP terbabit juga akan terus memandang serius perkara ini dan mengakui bahawa penganjur berkenaan masih bertanggungjawab atas tindakan melanggar arahan penggunaan ruang yang telah ditetapkan.
“Oleh itu, kami menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam penganjuran aktiviti sentiasa mematuhi garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berautoriti, lebih-lebih lagi apabila melibatkan institusi-institusi keagamaan seperti masjid,” katanya.


Boleh jadikan masjid tempat lepak tapi wajib jaga adab
Meskipun tiada hukum yang secara terperinci menjelaskan tentang perbuatan mengadakan pertandingan permainan online di dalam masjid, namun kita boleh menilainya menerusi sudut pandangan berbeza.
Sebagai contoh, pendakwa bebas Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjelaskan bahawa boleh menjadikan masjid sebagai tempat lepak, tetapi wajib menjaga adab di dalam rumah Allah itu seperti tidak berbual dengan suara yang kuat atau perkara yang haram.
Jelasnya, masjid bukan hanya tempat beribadat semata-mata, malah sebagai tempat duduk atau tempat bersosial juga selagi mana tidak melanggar hukum Allah SWT.
Tidak hanya itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) menerusi laman web rasminya turut berpandangan bahawa berbual di dalam masjid adalah harus selagimana tidak mengganggu orang yang beribadah di dalam masjid tersebut.
Pun begitu, perlu diingatkan bahawa perbualan tersebut hendaklah dalam ruang lingkup perkara-perkara yang diharuskan dan ia bukan dalam perkara-perkara yang diharamkan seperti mengumpat, mencarut, mengadu domba dan sebainya atau perkara yang sia-sia yang tidak membawa sebarang manfaat bahkan lebih dekat kepada kelalaian.
Harus hukumnya jika kanak-kanak main game dalam masjid, jadi haram jika mengganggu
Selain itu Pejabat Mufti WP turut menjelaskan bahawa hukum kanak-kanak yang belum lagi mumayyiz bermain permainan video di dalam masjid juga adalah harus sekiranya ia tidak mengganggu jemah-jemah yang berada di dalam tempat ibadat itu.
Bagaimanapun, sekiranya perbuatan tersebut mengganggu maka ia adalah dilarang dan haram hukumnya.
Hal ini berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abi Said RA yang berkata:
اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ، فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ، وَقَالَ: أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ أَوْ قَالَ: فِي الصَّلَاةِ
“Rasulullah SAW beriktikaf di dalam masjid, lalu Baginda SAW mendengar para sahabat menguatkan bacaan (al-Quran) mereka. Kemudian Baginda SAW membuka tirai sambil bersabda: “Ketahuilah, sesungguhnya kamu sedang bermunajat kepada Tuhan kamu. Oleh kerana itu, janganlah sebahagian daripada kamu menyakiti (mengganggu) sebahagian yang lain dan janganlah sebahagian daripada kamu meninggikan suara ke atas sebahagian yang lain ketika membaca (al-Quran) atau di ketika di dalam solat.”
Riwayat Abu Daud (1332)
Jadi perdebatan netizen, ada yang tidak bersetuju dengan teguran Nabilah
Terdahulu, penularan video terbabit menimbulkan perdebatan ramai di kalangan pengguna media sosial.
Ada pihak yang mengecam wanita berkenaan kerana beranggapan program sedemikian bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk diadakan di masjid selagi mana ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan telah mendapat kebenaran oleh pihak pengurusan rumah ibadat itu.
Namun, ada juga yang bersetuju dengan pendapat yang diberikan oleh Nabilah kerana program seperti Mobile Legends adalah tidak berfaedah dan tidak sepatutnya dianjurkan di dalam masjid.







![“Takut Rabies” – Sekumpulan Anjing Liar Berkeliaran Di Pantai Sekitar PD Undang Perhatian [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/pets.jpeg)

![Usahawan Berhabis RM1 Juta Hadiahkan Barang Mewah Termasuk Kereta Sempena Hari Jadi Anak [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)
![Ramai Terhibur Fazz Ahmad Antara Rapper Pilihan Altimet – “Saya Boleh Buat Style Semua, Kecuali Dia” [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/music.jpeg)