![Tular Guna Logo JIM Pada Kenderaan, Lelaki Pakistan Ditahan Dalam 24 Jam [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/Tular-Video-Warga-Asing-Guna-Logo-JIM-Pada-Kenderaan-Lelaki-Pakistan-Ditahan-Polis.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular di laman Threads menunjukkan video seorang lelaki dipercayai warga asing menggunakan logo rasmi jabatan dan lampu mata arah pada sebuah kenderaan yang sedang dipandu.
Menerusi video yang dipercayai dikongsi di WhatsApp Status itu, kedengaran seorang penumpang wanita sedang bergelak ketawa dan berlakon seolah-olah dia ‘ditangkap’ oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
View on Threads
JIM Tahan Lelaki Pakistan Susulan Isu Guna Logo Jabatan & Pasang Lampu Mata Arah
Namun dalam tempoh kurang 24 jam selepas video itu tular di media sosial, pihak JIM telah berjaya menahan lelaki warga Pakistan tersebut.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban, individu terbabit ditahan dalam Operasi Khas yang dijalankan pada 4.30 petang semalam (9 Ogos) di PV3 Platinum Hill Condominium, Setapak, Kuala Lumpur.
Dalam operasi sama, pihaknya juga telah menahan seorang wanita warga Indonesia yang didapati tinggal lebih masa di negara ini selain menemukan dua pasport Indonesia, dipercayai milik individu lain dalam simpanan lelaki terbabit.
“Hasil siasatan awal terhadap individu tersebut mendapati video tular berkenaan dirakam pada April 2025 dan baru dimuat naik dalam status WhatsApp oleh isterinya pada 7 Ogos lepas. Isteri individu tersebut berada di Indonesia dan video tersebut dimuat naik ketika isterinya berada di negara itu,” kata JIM dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini (10 Ogos).
Jelas Zakaria, lelaki itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita warga Indonesia ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Susulan tangkapan tersebut, pasukan operasi mengesan sebuah Toyota Hilux bernombor pendaftaran VLH8773 di sebuah premis mencuci kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur yang dipercayai digunakan dalam video tular.
Pemilik Sebenar Kenderaan Yang Juga Warga Pakistan Turut Ditahan
Mengulas lanjut, Zakaria berkata pemilik sebenar kenderaan yang juga seorang warga Pakistan turut ditahan bersama lapan (8) lagi pekerja warga asing terdiri daripada empat lelaki Bangladesh, tiga lelaki Pakistan dan seorang lelaki India.
Pemilik kenderaan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala lapan pekerja itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Kesemua yang ditahan berserta kenderaan yang tular dalam video dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut.”
Pemilik Kenderaan Dakwa Tidak Tahu Guna Logo JIM & Lampu Mata Arah Satu Kesalahan Undang-undang
Sementara itu, pemilik kenderaan mengakui telah memasang logo JIM dan lampu mata arah berkenaan untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang tujuan rasmi selain mendakwa dia tidak tahu ia sebenarnya adalah satu kesalahan undang-undang.
Pemilik Kereta Dakwa Logo JIM & Lampu Mata Arah Sudah Ditanggal Sebelum Video Tular
Dakwanya lagi, logo JIM dan lampu mata arah itu telah pun ditanggalkan sebelum video tersebut tular.
Dalam pada itu, JIM menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan imej serta integriti jabatan.
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara.”
Sebelum ini, JIM mengesahkan kenderaan terbabit bukan aset rasmi jabatan berkenaan.
Menurut Zakaria, pihaknya memandang serius penggunaan logo jabatan pada kenderaan tersebut kerana perbuatan itu boleh menimbulkan kekeliruan dan salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.
Baca Artikel Berkaitan: Padah Guna Strobe Light, Lelaki 26 Tahun Pandu Vellfire Ditahan Polis
Baca Artikel Berkaitan: Tular Pemandu Proton Saga Bunyikan Siren & Pandu Secara Bahaya Diburu Polis [Video]






