Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Seorang lelaki warga asing yang dipercayai menggunakan logo jabatan dan lampu mata arah pada kenderaan berjaya ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam tempoh 24 jam.
Lelaki warga Pakistan itu ditahan dalam Operasi Khas sekitar pukul 4.30 petang, semalam di PV3 Platinum Hill Condominium, Setapak dan Jalan Kuching. Serbuan itu juga membawa kepada penahanan 10 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato’ Zakaria bin Shaaban, pemeriksaan awal di kondominium terbabit menahan suspek utama bersama seorang wanita warga Indonesia yang tinggal lebih masa. Pihak berkuasa turut merampas dua pasport milik individu lain di premis tersebut.

Susulan tangkapan itu, pihak JIM mengesan kenderaan Toyota Hilux berkenaan di sebuah kedai cuci kereta di Jalan Kuching.
“Pemeriksaan lanjut berjaya menahan pemilik sebenar kenderaan yang merupakan seorang warga Pakistan bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
“Lapan pekerja kedai cuci kenderaan turut ditahan terdiri daripada empat lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India,” ujarnya.

Artikel berkaitan: Pemandu E-hailing ‘Pening’! Pelancong Asing Berdegil Nak Bayar Tambang Guna Rupee
Artikel berkaitan: “You hutang, you maki lagi” – Driver Berang Dihina Penumpang Warga Asing, Siap Paksa Bawa Laju
Dalam pada itu, Zakaria berkata, siasatan awal mendapati video tular berkenaan sebenarnya dirakam pada April tahun lalu.
Katanya, video tersebut bagaimanapun hanya dimuat naik dalam status WhatsApp oleh isteri kepada individu terbabit pada 7 Ogos lalu ketika wanita itu berada di Indonesia.
“Siasatan awal terhadap pemilik Toyota Hilux mendapati lelaki terbabit mengakui memasang logo jabatan dan lampu mata arah pada kenderaan tersebut sekadar untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang tujuan rasmi.
“Dia juga mendakwa tidak mengetahui perbuatan tersebut menjadi satu kesalahan undang-undang dan memaklumkan logo JIM dan lampu mata arah tersebut sudah dibuang,” katanya.
Pihak JIM menegaskan tiada kompromi terhadap penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan awam atau menjejaskan imej jabatan.
Sumber: Facebook
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






