Warga asing guna logo jabatan pada kenderaan ditahan dalam 24 jam  

10 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Warga asing guna logo jabatan pada kenderaan ditahan dalam 24 jam  

PETALING JAYA – Seorang lelaki warga asing yang dipercayai menggunakan logo jabatan dan lampu mata arah pada kenderaan berjaya ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam tempoh 24 jam.

Lelaki warga Pakistan itu ditahan dalam Operasi Khas sekitar pukul 4.30 petang, semalam di PV3 Platinum Hill Condominium, Setapak dan Jalan Kuching, di sini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan digerakkan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya susulan video yang tular di media sosial.

“Pemeriksaan lanjut di dalam premis tersebut turut menemukan seorang wanita warga Indonesia yang didapati telah tinggal lebih masa di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan menemukan dua naskhah pasport warga Indonesia yang dipercayai milik individu lain dalam milikan lelaki Pakistan terbabit.

Katanya, lelaki itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita Indonesia berkenaan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sehubungan itu, Zakaria berkata, pihaknya kemudian berjaya mengesan Toyota Hilux yang digunkan dalam video berkenaan di sebuah kedai cuci kenderaan di Jalan Kuching.

“Pemeriksaan lanjut berjaya menahan pemilik sebenar kenderaan yang merupakan seorang warga Pakistan bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Lapan pekerja kedai cuci kenderaan turut ditahan terdiri daripada empat lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, siasatan awal mendapati video tular berkenaan sebenarnya dirakam pada April tahun lalu.

Katanya, video tersebut bagaimanapun hanya dimuat naik dalam status WhatsApp oleh isteri kepada individu terbabit pada 7 Ogos lalu ketika wanita itu berada di Indonesia.

“Siasatan awal terhadap pemilik Toyota Hilux mendapati lelaki terbabit mengakui memasang logo jabatan dan lampu mata arah pada kenderaan tersebut sekadar untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang tujuan rasmi.

“Dia juga mendakwa tidak mengetahui perbuatan tersebut menjadi satu kesalahan undang-undang dan memaklumkan logo JIM dan lampu mata arah tersebut sudah dibuang,” katanya.

Beliau menambah, kesemua individu yang ditahan bersama kenderaan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

The post Warga asing guna logo jabatan pada kenderaan ditahan dalam 24 jam   appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved