Tular rakaman CCTV curi duit tabung surau, dua lelaki diburu polis

26 Sep 2026 • 3:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tular rakaman CCTV curi duit tabung surau, dua lelaki diburu polis
Aksi suspek yang sedang mengumpil tabung di Seksyen 16 di sini dirakam CCTV surau berkenaan.

SHAH ALAM - Tindakan dua lelaki mengumpil dua buah tabung yang diletakkan pada pintu masuk sebelum mencuri wang sumbangan tersebut di surau di Seksyen 16 di sini mengundang padah selepas aksi mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki Melayu yang juga ahli jawatankuasa surau berkenaan pada jam 5.25 petang, Jumaat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dua lelaki tidak dikenali memasuki surau berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi pada hari sama melalui pintu pagar utama.

"Rakaman CCTV mendapati kedua-dua suspek kemudian mengumpil dua buah tabung yang diletakkan di pintu masuk hadapan surau.

"Jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan setakat ini kerana wang berkenaan adalah hasil sumbangan orang ramai yang datang ke surau tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kejadian itu turut mendapat perhatian selepas satu hantaran pemilik akaun Threads berhubung kes berkenaan tular di media sosial.

Katanya, hantaran berkenaan setakat ini menerima 86 tanda suka, satu komen dan enam perkongsian.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk usaha mengenal pasti dan mengesan suspek yang terbabit," katanya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Mohd Fazril Hamid di talian 012-6476747 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved